Bahagian akhir Ditemui selepas itu, Sles Monirah menyifatkan laporan akhbar sebelum ini yang menyebut Nik Adli pernah beberapa kali ke Afghanistan selepas pulang ke tanahair sebagai "fitnah."

"Sepanjang pengetahuan saya, Nik Adli tidak pernah ke Afghanistan lagi sejak pulang dari sana. Suami saya hanya ke sana (Afghanistan) semasa belajar di Pakistan," jelasnya.

"Setiap jam 7 pagi, suami saya akan (pergi mengajar) ke Sekolah Menengah Agama Darul Anuar. Pada Zuhur dia akan balik untuk makan tengahari. Selepas itu, dia akan (mengajar) kelas tambahan. Sebelah petang, selepas Asar, beliau berkebun kerana itu hobi suami saya.

"Waktu malam pula beliau ke masjid dan mengajar al-Quran hingga Isyak. Selepas itu, beliau mengajar tuisyen bahasa Arab untuk pelajar peralihan dari jam 9.30 hingga 10.30 malam. Beliau kemudian balik rumah berehat bersama anak-anak dan tidur," Sles Monirah menceritakan rutin suaminya.

"Jadi saya tidak tahu bagaimana orang boleh menuduh suami saya terlibat dengan gerakan 'militan'. Saya (berasa) pelik," katanya lagi, yang pernah belajar di Pakistan.

Kata Suklia Jusoh pula, suaminya Solehan Abdul Ghaffar ditangkap ketika beliau tiada di rumah mereka di Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu.

"Jiran saya telefon (saya), memberitahu rumah saya telah dikepung (polis). Apabila sampai di rumah, saya dapati suami saya sudah tiada. Saya percaya dia ditangkap sehelai sepinggang. Saya ke ibu pejabat polis Kuala Terengganu tetapi hanya dibenarkan berurusan di pondok pengawal balai itu saja," katanya.

Suklia kemudian diminta menandatangani lima surat yang menunjukkan Solehan ditahan mengikut ISA. Suaminya ditangkap jam 8.30 pagi awal Ogos lalu.

"Selain menyerahkan kunci-kunci rumah dan kereta (kepada saya), polis tidak memberitahu sebarang maklumat tentang suami saya," katanya.

Siti Rahmah Abdullah, isteri Ketua Pemuda PAS kawasan Larut Ahmad Tajuddin Abu Bakar, berkata suaminya sentiasa sibuk dengan mesyuarat parti dan tugasnya sebagai seorang guru agama.

Tambahnya, Ahmad Tajuddin berada di Pakistan selama setahun saja kira-kira 10 tahun lalu.

"Suami saya ditangkap ketika sedang sibuk di kedai yang baru dibuka kira-kira tiga bulan lalu. Menurut abang saya (yang ada bersama suaminya), selesai saja suami saya membasuh tangan selepas menjual santan kepada pelanggan, polis terus menangkapnya dan membawanya masuk ke kereta," katanya.

'Jika anak saya bersalah'

Menurut Siti Rahmah, beliau kemudian menerima panggilan telefon daripada ibu pejabat polis Bukit Aman yang memaklumkan suaminya ditahan di bawah akta itu kerana terbabit dengan "kegiatan militan."

Ibu kepada empat orang anak itu esoknya menerima surat makluman tentang tangkapan itu yang dihantar oleh sendiri oleh seorang pegawai polis.

"Dalam surat tersebut, disertakan dua talian telefon di Bukit Aman. Tetapi apabila abang saya cuba menelefon, usaha itu sia-sia saja kerana nombor telefon sudah bertukar," katanya.

Ariffin Jusoh dari Baling, Kedah berkata, anaknya Mohd Lotfi ditahan di Kampung Sadek, Kupang, Kedah kira-kira jam 5.30 petang Jumaat lalu.

"Jika anak saya bersalah, saya minta kerajaan bawalah (dia) ke mahkamah," gesanya.

Kata Ariffin, ketika ditahan, dalam milik anaknya terdapat pasport antarabangsa dan wang US$300.

"Anak saya merancang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Yaman. (Dia) dijangka bertolak 27 Ogos ini, sebab itu pasport dan wang itu ada dengannya," jelasnya.

Menurutnya, Mohd Lotfi belajar di Pakistan lebih kurang empat setengah tahun dan apabila pulang ke tanahair, beliau mengajar di Madrasah Nurul Hidayah, selain giat menyampaikan kuliah dan ceramah agama di beberapa tempat.

Menurut Ariffin lagi, anaknya itu ditahan ketika dalam perjalanan ke Sungai Petani, Kedah untuk mengambil wang sumbangan bagi melanjutkan pelajaran.

Dalam operasi selama tiga hari berturut-turut sejak 2 Ogos, turut ditahan Zainun Ismail (ditangkap di Baling, Kedah), Abu Bakar Che Doi (Kuala Muda, Kedah), Asfawani Abdullah (Kuala Ketil, Kedah) dan Ahmad Pozi Darman (Hulu Tiram, Johor).


AZLINA NGAINON bertugas sebagai wartawan malaysiakini