Merenung kemerosotan IPTA kita
Kita pasti terserentak dengan khabar berita yang IPTA kita terulung seperti UM dan USM terus kecundang dalam hairaki universiti terulung di dunia. Maknanya kita masih jauh untuk berdiri setara dengan universiti-unversiti yang dinobatkan sebagai 200 universiti terbaik di dunia mengikut kriteria tertentu.
Dunia akademik di negara kita telah mengalami kemerosotan sejak dua dekad yang lalu. Tanda kemerosotan antaranya adalah mutu graduan yang dijanakan mempunyai banyak ciri yang tidak kompetitif.
Misalnya ramai graduan lemah dalam aspek penguasaan bahasa Inggeris, tidak mempunyai ketrampilan dan keyakinan diri. ini terdapat tidak kurang 60,000 graduan yang tergolong dalam kategori itu. Apa ertinya hakikat ini?
Sudah tentunya hasil yang dijana oleh IPTA kita antaranya ditangani oleh staf akademik yang tidak bermutu ataupun mutu pelajar yang dipilih di peringkat kemasukan memang tidak berkualiti meskipun mempunyai kelulusan yang baik pada peringkat SPM.
Masalah ini akan berleretan kepada mutu pendidikan pada peringkat menengah dan rendah pula kerana tidak mempersiapkan para pelajar dengan baik sebelum mereka bertandang ke universiti.
Rumusannya, jika di hulunya tidak baik maka di hilirnyapun tidak baik. Salah satu sebab mengapa senario ini berlaku adalah kerana meluasnya pengaruh politik dalam sistem pendidikan kita. Akibatnya kita menerima padah apabila kayu ukuran antarabangsa tidak mengiktiraf prestasi kita walaupun berbilion ringgit telah dilabur dalam sistem pendidikan negara.
Kita perlu akui faktor utama yang akan menentukan prestasi sesebuah universiti adalah ketuanya atau ketua eksekutifnya iaitu Naib Canselor. Naib Canselor sebagai ketua pemimpin harus jernih dalam visi kecemerlangan akademik dan kecemerlangan universitinya.
Ada banyak beza antara dua jenis kecemerlangan itu. Yang pertama mementingkan mutu dan ilmu yang disampaikan harus yang terbaik sementara kecemerlangan universiti adalah satu usaha agresif perhubungan awam untuk menarik perhatian media dan orang ramai atau yang berkepentingan mengenai sesebuah universiti itu.
Banyak pemimpin universiti lebih cenderung menumpu kepada kecemerlangan universiti, mencari publisiti dan menggembar-gemburkan kehebatan universiti hingga mementingkan banyak majlis perasmian yang tidak ada kena-mengena dengan tuntutan akademik.
Selain itu sikap staf akademik masa kini amat mengecewakan. Ramai yang tidak lagi mempunyai keghairahan untuk menuntut atau membicarakan hal ilmu atau akademik.
Sertailah mereka di kantin dan kita akan dapati ramai di antara mereka yang lebih cenderung membicarakan hal politik atau tentang perkara kenaikan pangkat. Mereka tidak mempamerkan sikap dan citra akademik. Jauh sekali kita boleh melihat mereka mentelaah jurnal-jurnal antarabangsa di perpustakaan.
Jika budaya ini masih berterusan kapan bila kita dapat melihat anjakan paradigma di kalangan staf akademik. Yang mencintai ilmu hanya segelintir staf akademik saja. Segelintir staf akademik inilah yang menyumbang kepada sisa-sisa kecemerlangan akademik yang masih ada. Suasana ingin mencari ilmu harus diakar umbikan. Kita bagaikan sudah tiada tradisi mulia ini di kalangan staf akademik.
Kalau ahli akademik tidak mengubah sikap, kewujudan mereka di menara gading hanya sekadar mencari makan, maka masa depan IPTA nampaknya tetap gelap. Kita terus memukul gendang kosong, menjadi juara kampung tetapi terpinggir di persada antarabangsa.
Kita mempunyai prestasi tetapi prestasi kita bersifat tidak berapa baik atau 'mediocre' dan bertambah buruk lagi apabila kita meraikan ciri-ciri tidak berapa baik ini.
Kita terlupa bahawa satu ketika dulu prestasi UM misalnya dalam bidang perubatan dan kejuruteraan adalah terhebat sekali bukan saja pada peringkat Asia tetapi disegani dunia. Potensi untuk kembali kepada asas kecemerlangan akademik tetap ada meskipun harus mengambil masa yang lama. Kita harus membuat kerja yang besar, sentiasa memburu dan membina ilmu.
Hentikan bodek-membodek dalam mengejar pangkat, sebaliknya bekerja keras untuk mengembalikan martabat kecemerlangan akademik.
Sebagai permulaan, kita harus realistik, berpijak di bumi nyata. Tumpukan perhatian kepada menghasilkan graduan yang bermutu, jangan bermimpikan yang terlalu tinggi yang tidak mungkin tercapai dalam tempoh dua dekad sekalipun.
Kalau kita hasilkan graduan bermutu tiada siapa boleh melekehkan tanggunjawab atau fungsi IPTA.

