Permohonan Anggota Parlimen Cameron Highlands Datuk C. Sivarraajh untuk membatalkan petisyen pilihan raya dikemukakan calon PKR bagi kawasan Parlimen itu, M Manogaran yang mencabar keputusan pilihan raya dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) berkenaan, akan didengar pada 16 Ogos ini.

Peguam M Rajenthirakumar, yang mewakili Manogaran memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi hari ini.

Mahkamah, sebelum ini menetapkan 3 Sept sehingga 20 Sept untuk mendengar petisyen pilihan raya berkenaan.

Pada 4 Jun lepas, Manogaran, 59, selaku pempetisyen memfailkan petisyen bagi memohon perisytiharan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas bagi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atas dakwaan responden (Sivarraajh) merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.

Mengikut petisyen itu, Manogaran mendakwa Sivarraajh yang berkempen bersama-sama Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang kini Menteri Besar Pahang, telah memberi rasuah antara RM30 hingga RM1,000 kepada pengundi Orang Asli melalui beberapa Tok Batin bagi memastikan mereka mengundi BN dan tidak mengundi calon-calon lain dengan kawasan itu yang menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Manogaran juga mendakwa Wan Rosdy, yang juga ADUN Jelai bagi tiga penggal berturut-turut sejak PRU11, amat terkenal dalam kalangan pengundi di kawasan itu.

Wan Rosdy juga didakwa bertanggungjawab untuk memperkenalkan Sivarraajh kepada pengundi Orang Asli yang sejak dahulu kurang mempercayai orang luar, katanya.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh undian sebanyak 10,307 untuk menewaskan empat calon lain.

- Bernama