Nik Aziz kata Annuar Musa celupar
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa yang mengatakan beliau tidak berani membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa yang mengatakan beliau tidak berani membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat.
Sebaliknya, beliau menyifatkan kenyataan ketua pembankang itu sebagai celupar dan mendukacitakan.
"Saya kirim salam kepada dia, kalau nak naik jangan jatuhkan orang lain, bukan saya tidak berani, saya tidak letak kerana ada kebenaran pada saya," katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Annuar yang memutuskan tidak akan menghantar surat peletakan jawatan kepada Nik Abdul Aziz dan Exconya Husam Musa kerana mendakwa beliau dan Husam tidak berani menyerahkan kuasa kepada rakyat.
Menurut Nik Abdul Aziz, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah pun mengeluarkan kenyataan berhubung peletakan jawatan ahli dewan, diikuti kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar tidak berbuat demikian tanpa sebab dan kemudian berhasrat untuk bertanding lagi.
Abdullah berkata "Siapa letak jawatan tidak payah bertanding lagi dah. Takkanlah dah letak jawatan, esok nak bertanding (semula)," kerana mengikut undang-undang bagi tempoh lima tahun.
Letak jawatan
Menurut laporan Bernama, Nik Abdul Aziz berkata, kenyataan Annuar itu bercanggah dengan nasihat Perdana Menteri supaya dihentikan cabar-mencabar yang dibuat oleh kedua-dua parti tersebut.
Beliau juga menjelaskan, surat peletakan jawatan bukan sepatunya dihantar kepadanya atau Husam tetapi kepada Speaker, iaitu orang yang bertanggungjawab dengan urusan dewan.
Menteri Besar itu juga marah apabila beliau dikatakan tidak berani menghadapi pilihanraya semula sekiranya cabaran itu benar berlaku dan semua anggota DUN meletakkan jawatan.
"Dia tahu mana yang saya tidak berani, berani, berani saya, Menteri Besar ni saya, macam mana boleh dia kata kita tidak berani?" katanya.
Bagi beliau, cabaran seumpama itu tidak menakutkan dan sedia menghadapi pilihanraya sekiranya benar anggota Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan bagi diadakan pilihanraya semula.
Katanya, jika takut untuk berhadapan dengan cabaran dari dahulu lagi, beliau tidak menyertai PAS dan penyertaan beliau dalam parti itu ketika kempen besar-besaran kerajaan menangkap guru agama.

