Terjemahan Memfailkan saman sivil merupakan hak individu dan tidak salah untuk berbuat demikian, kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar hari ini.

"Tiada siapa yang boleh menyekat sesiapa pun daripada membawa sesuatu kes ke mahkamah," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai saman sivil yang difailkan oleh seorang anggota polis terhadap seorang remaja yang sebelum itu telah membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kemudiannya mendakwa anggota polis berkenaan di mahkamah.

Semalam, Pengerusi Kaukus Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata tindakan menyaman tersebut bertentangan dengan dasar awam.

Jun lalu, Foo Sze Kuan, ketika itu berusia 17 tahun, membuat aduan kepada BPR, mendakwa beberapa anggota polis meminta wang rasuah RM300 daripadanya kerana didakwa melakukan kesalahan lalulintas di Seremban.

Berikutan itu, seorang anggota polis didakwa di mahkamah Mac lalu, tetapi telah dibebaskan daripada tuduhan tersebut bulan lalu. Bagaimanapun, anggota polis berkenaan telah menfailkan saman malu terhadap Foo Mei lalu.

Perbicaraan kes itu yang dijadualkan minggu lalu, telah ditangguhkan ke Januari depan.

'Biar mahkamah putuskan'

Mengulas lanjut mengenainya, Noh berkata, biarlah mahkamah membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

"Dia (anggota polis tersebut) mempunyai hak untuk membawa kes itu ke mahkamah," tambahnya.

Mengenai dakwaan tiga rakyat China yang polis menyerbu rumah mereka, selepas mereka membuat aduan mengenai salahguna kuasa terhadap pihak polis, timbalan menteri itu berkata, beliau akan mengendalikan tersebut jika mereka datang menemuinya sendiri.

Katanya, beliau tidak boleh mengarahkan siasatan dibuat kerana beliau sendiri tidak tahu menahu mengenai kes tersebut.

"Saya tidak menerima sebarang laporan....(Jadi) bagaimana saya hendak ambil tindakan jika saya tidak dapat laporan? Tak kan saya hendak bergantung kepada laporan media?

"Mereka (rakyat China) membuat laporan kepada siapa? Kepada kementerian? Saya hanya mengetahui mengenai kes itu dalam akhbar. Mengapa mereka berjumpa DAP, mengapa mereka tidak mahu berjumpa dengan menteri? Hanya para menteri boleh buat keputusan," katanya.

Rampasan penerbitan

Sebelum itu, Noh memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementeriannya telah merampas 8,812 tajuk penerbitan bercetak dalam 609 serbuan yang dibuat ke atas 2,979 premis antara Januari hingga September tahun ini.

Katanya, pihak kementerian juga telah memeriksa 122,356,384 penerbitan bercetak dan merampas 431,185 daripadanya di pintu masuk negara ini.

Di samping itu, katanya, 135 surat nasihat, 166 surat peringatan, 19 surat amaran serta tujuh surat tunjuk sebab, turut dikeluarkan sepanjang tempoh yang sama kepada syarikat penerbitan dan pencetakan yang melanggar Akta Penerbitan dan Mesin Cetak(PPPA)1984.

Pihak kementerian juga, katanya, telah menggantung satu lesen cetak tahun ini. Berita asal