Kahwin bawah umur: Latheefa persoal Wan Azizah
Lawyers For Liberty (LFL) membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung isu perkahwinan bawah umur membabitkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dan seorang lelaki berusia 41 tahun baru-baru ini.
Pengarah LFL, Latheefa Koya berkata kenyataan Wan Azizah yang menyatakan masyarakat tidak wajar menjatuhkan hukuman di media sosial berhubung isu itu adalah sukar diterima.
"Kenapa pertahankan pelaku seks sumbang ini dengan menyatakan orang awam menghukum dia? Adakah ini usaha menghalang perbicangan umum mengenai perkara itu?
"Orang ramai berhak mengkritik tindakan pelaku itu dan menggesa perkahwinan kanak-kanak di Malaysia dihentikan. Perbicangan ini penting dan sepatutnya digalakkan," kata Latheefa dalam kenyataan petang ini.
Semalam, Wan Azizah berkata kerajaan perlu bertindak berlandaskan undang-undang dan mengambil tindakan berasaskan bukti berhubung kes perkahwinan membabitkan lelaki dengan gadis bawah umur warga Thailand yang tinggal di Gua Musang, Kelantan.
Wan Azizah berkata kenyataan berhubung perkara itu hanya akan dikeluarkan selepas siasatan selesai dijalankan.
"Walaupun memahami kemarahan yang timbul berikutan daripada insiden ini, adalah penting untuk kita tidak membiarkan perasaan peribadi menentukan tindakan yang patut diambil.
"Adalah tidak adil untuk menghukum seseorang melalui media sosial hanya kerana perasaan kita mengenai isu ini," katanya.
Mengulas lanjut, Latheefa yang merupakan anggota majlis tertinggi PKR turut membidas Wan Azizah kerana menggunakan istilah "didakwa" dalam kes berkenaan.
"Sukar difahami apa yang dimaksudkan oleh TPM sebagai kejadian 'didakwa'.
"Pelakunya sendiri telah mengakui perkahwinan itu dan dikenakan denda. Lebih buruk lagi, dia juga telah mengaku secara terbuka menyukai mangsa sejak kanak-kanak itu berusia tujuh tahun," katanya.
Menurut Latheefa, Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, sekali lagi cuba bermain tarik tali dalam kes itu.
"Terdahulu, Wan Azizah meminta 'privasi' keluarga dilindungi dan membandingkannya dengan pengalamannya ketika suaminya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam tahanan.
"Tidak masuk akal untuk membicarakan isu privasi apabila jenayah seksual yang serius dilakukan terhadap seorang kanak-kanak," katanya.

