Pantai Timur mula dilanda banjir
Banjir mula melanda negeri-negeri di Pantai Timur di mana jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Pahang meningkat kepada 68 orang manakala sebahagian daerah di Terengganu ditutup untuk laluan kenderaan akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Manakala di Kelantan, paras air di beberapa batang sungai utama di negeri itu hari ini melebihi paras berjaga-jaga berikutan hujan sejak empat hari lalu.
Banjir mula melanda negeri-negeri di Pantai Timur di mana jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Pahang meningkat kepada 68 orang manakala sebahagian daerah di Terengganu ditutup untuk laluan kenderaan akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Manakala di Kelantan, paras air di beberapa batang sungai utama di negeri itu hari ini melebihi paras berjaga-jaga berikutan hujan sejak empat hari lalu.
Di Pahang, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kuantan meningkat kepada 68 orang berbanding 49 orang semalam.
Pengarah Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Bakar Mamat berkata mangsa terbabit termasuk sembilan bayi, 22 kanak-kanak dan 37 orang dewasa daripada 10 keluarga yang kesemuanya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Cenderawasih.
Kawasan yang dilanda banjir ialah Kampung Paya Tiga, Kampung Bukit Setongkol dan Kampung Segantang Lada. Sementara itu, katanya, tidak ada laporan mengenai pemindahan kerana banjir di daerah lain di negeri ini sehingga jam 10 pagi ini.
Di Terengganu, beberapa jalan hari ini dilaporkan dinaiki air sedalam 0.3 meter hingga dua meter sehingga menyebabkan banyak kenderaan terkandas.
Setakat ini, 12 orang daripada dua keluarga dari Kampung Bukit Nangka, Paka dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Santong hari ini. Kesemua mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan pada kira-kira jam 9 pagi tadi setelah kawasan kediaman mereka ditenggelami air sedalam 1.1 meter.
Jurucakap Bilik Gerakan Polis Negeri di sini berkata di daerah Setiu, Jalan Kampung Pak Ba ke Kampung Bukit Air ditenggelami air sedalam 1.5 meter sejauh 50 meter dan ditutup kepada kenderaan ringan.
Jalan ditutup
Menurut laporan Bernama, Jalan Pelong Kampung Nyior di Sungai Tong ditenggelami air sedalam dua meter sejauh 100 meter dan bagaimanapun kawasan ini masih boleh dilalui kenderaan.
Di Kemaman, dua batang jalan dinaiki air iaitu di Jalan Cukai ke Air Putih di Km13 Sungai Pinang iaitu sedalam 0.7 meter dan ditutup kepada semua jenis kenderaan.
Jurucakap itu berkata Jalan Ibok ke Tasik Bungkus di Km10 yang ditenggelami air sedalam 0.4 meter sejauh 200 meter ditutup kepada kenderaan ringan manakala di daerah Dungun, Jalan Jerangau-Jabor dekat stesen timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Besi iaitu di Km76 pula dinaiki air sedalam satu meter sejauh 300 meter dan ditutup kepada kenderaan ringan.
Sementara itu, di Km 70 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Air Hitam, Paka juga dinaiki air sedalam 0.3 meter sejauh lima meter dan ditutup kepada kenderaan kecil.
Di daerah Hulu Terengganu pula, Jalan Telemong ke Matang juga ditutup kepada kenderaan kecil berikutan air naik sedalam 0.7 meter sejauh dua kilometer.
Manakala Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca Lapangan Terbang Kuala Terengganu melaporkan hujan lebat dan sekali-sekala renyai akan berterusan sehingga malam Khamis ini manakala keadaan laut pula bergelora serta angin kencang.
Di Kelantan, Hujan paling lebat dilaporkan di Kuala Krai dengan bacaan 92mm. Menurut lamanweb Unit Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, bacaan pada jam 11.45 pagi tadi menunjukkan paras air di Sungai Galas di Dabong adalah 34.33 meter berbanding paras berjaga-jaga 32 meter, Sungai Lebir, Tualang 30.23 meter (berjaga-jaga 23 meter), Sungai Golok di Rantau Panjang 7.94 meter (berjaga-jaga 7 meter), Tangga Krai, Kuala Krai 23.69 meter (berjaga-jaga 20 meter), Kusial, Tanah Merah 14.69 meter (berjaga-jaga 12 meter) dan Jeti Kastam 3.29m (berjaga-jaga 3 meter).
Bacaan paras air di Sungai Semerak, Pasir Puteh ialah 1.21 meter dan masih di bawah paras berjaga-jaga (2 meter). Jumlah sukatan hujan sejak tengah malam malam tadi di Kusial, Tanah Merah 90mm diikuti Gunung Gagau 2, Gua Musang (76mm), Kampung Tualang, Kuala Krai (69mm), Dabong, Kuala Krai (65mm) dan Pasir Mas 41mm. Hujan juga dilaporkan turun di kebanyakan daerah sejak awal pagi.

