Terjemahan Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Hashim Yaacob mengambil kesempatan sepenuhnya daripada seminar bagi membincangkan ranking universiti dunia 2005 hari ini, untuk mempertahan kemerosotan kedudukan universiti tersebut dalam ranking universiti dunia Keluaran Khas Pendidikan Tinggi Times (THES).

Pada masa yang sama, Nunzio Quacquarelli, Pengarah Urusan QS Quacquarelli Symonds yang mengendalikan tinjauan THES itu juga mengakui berlaku kesilapan dalam kutipan data tahun lalu.

Ini mengakibatkan pada tahun lalu, UM diletakkan di ranking yang lebih tinggi daripada sepatutnya dan ini bermakna kemerosotan kedudukan universiti itu pada tahun ini, tidaklah seburuk yang disangkakan.

Kedudukan universiti tersebut jatuh dari tangga 89 kepada tangga 169 tahun ini, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) terkeluar terus daripada senarai tersebut, berbanding menduduki ranking ke-111 tahun lalu.

Kira-kira 400 penjawat pengurusan dan ahli akademik dari pihak kerajaan dan institusi pengajian tinggi swasta menghadiri seminar anjuran UM di kampusnya di Kuala Lumpur semalam, termasuk Pro-Canselornya, Raja Nazrin Shah dan Toh Puan Dr Aishah Ong.

Hashim, yang mempengerusikan majlis tersebut, menegaskan bahawa prestasi universiti tersebut bukan sahaja bertambah baik daripada tahun lalu, malah prestasinya lebih baik daripada universiti-universiti terkemuka yang lain dalam bidang kajian tertentu.

Katanya, UM mendapat 23.5 mata tahun ini mengatasi kutipan mata 16.6 tahun lalu manakala diranking sebagai 100 universiti terbaik di dunia dalam kategori sastera dan sains kemanusian(45), sains sosial (83), dan bio-perubatan (82). Tahun lalu, UM tidak langsung tersenarai dalam bidang-bidang berkenaan.

"Kedudukannya bergantung kepada (prestasi kita dan yang lainnya). Ianya bukan dalam kawalan kita. Apa yang penting ialah setiap tahun kita memperlihatkan peningkatan prestasi dalam markah yang diperolehi dan ini kita boleh kawal," katanya.

Hashim berkata, prestasi UM bertambah baik dalam tiga kriteria penilaian rakan sejawatan, nisbah pensyarah-pelajar dan Rujukan penyelidikan lain bagi penerbitan kakitangan universiti yang dinilai.

Kemerosotan pula dicatat dalam dua kriteria pengambilan pelajar dan kakitangan asing kerana UM sebagai sebuah universiti awam, perlu menimbangkan kepentingan pelajar dan tenaga kerja tempatan.

(Kriteria keenam 'pendapat majikan' hanya diperkenal pada tahun 2005).

Menurut Hashim, prestai UM hampir menyamai Universiti Newcastle, Australia (raking 127 dengan 26.4 markah) dan Universiti Frankfurt, Jerman (ranking 142 dengan 25.3 markah).

"Kedudukan UM hanya sedikit rendah...Malaysia masih sebuah negara baru," katanya, sambil menolak kritikan terhadapnya berhubung kemerosotan kedudukan UM dalam ranking THES itu.

Oleh itu, katanya, UM tidak sepatutnya dilayan sedemikian rupa dan dipandang rendah 'kerana kami telah melakukan yang terbaik dan kami telah membuktikannya".

Salinan rencana yang ditulis Hashim, bertajuk "Bukan Gambaran Sebenar UM (UM Terbilang Di Dunia) turut diedarkan kepada peserta seminar tersebut. Rencana tersebut telah disiarkan dalam Utusan Malaysia dan The New Straits Times dalam bentuk advertorial.

Batas kajian

Nunzio (foto) menjelaskan bahawa UM telah tersalah ranking tahun lalu kerana tinjauan tersebut telah mengkategorikan pelajar Cina dan India sebagai pelajar asing. Berikutan itu, UM diberi markah yang tinggi bagi kriteria 'pelajar antarabangsa'.

Katanya, ianya berlaku akibat kesilapan komunikasi dan kesilapan itu telah diperbetulkan tahun ini.

Bagaimanapun, tiada seorang pun di kalangan peserta seminar itu yang bertanya kedudukan sebenar UM tahun lalu sekiranya kesilapan tersebut telah diperbetulkan.

Nunzio juga menegaskan bahawa yang penting bukan ranking tersebut, tetapi bagaimana pihak universiti memanfaatkan data yang diperolehi itu.

"Tidak ada petanda yang menunjukkan universiti yang mendapatkan ranking yang tinggi, lebih baik daripada universiti yang mendapat ranking yang rendah," katanya.

Beliau memuji prestasi UM dalam kriteria 'penilaian rakan sejawatan' yang menurutnya telah meningkat 41 anak tangga daripada tahun lalu.

Ketika menjelaskan kaedah yang digunakan, Nunzio memberi butiran markah bagi enam kriteria yang digunakan: penilaian rakan sejawatan (40 peratus), rujukan penyelidik lain (20 peratus), nisbah pensyarah-pelajar (20 peratus), pendapat majikan (10 peratus), bilangan pelajar asing (5 peratus), dan bilangan kakitangan asing (5 peratus).

Sejmlah 560 universiti yang memperolehi markah tertinggi bagi kriteria 'rujukan penyelikan lain' telah dipilih untuk ranking dan 200 yang terbaik, disenarai-pendekkan untuk ranking muktamad.

Bilangan ahli akademik dan majikan yang sama banyak dari Asia Pasifik, Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah dan Afrika, turut memberi input dalam tinjauan tersebut, di mana para akademik memberi pendapat mengenai bidang kepakaran masing-masing supaya tidak berat sebelah.

Nunzio mengakui bahawa tinjauan tersebut juga mempunyai had batasannya. Ia tidak dapat meliputi kualiti pengajaran, kepuasan pelajar dan pelaburan universiti di bidang infrastruktur.

Katanya, penerbitan dalam bahasa lain daripada bahasa Inggeris tidak diambilkira dalam tinjauan tersebut, yang ditumpukan kepada penerbitan dalam bahasa Inggeris sejak 10 tahun lalu seperti yang direkodkan dalam Thompson ISI.

Nunzio juga menasihatkan universiti-universiti supaya memperbaiki prestasi masing-masing dalam tiga bidang menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi, memastikan para graduan menjadi rebutan majikan dan mengantarabangsakan universiti bagi mendapatkan ranking yang lebih tinggi.

Tidak jawab soalan

Beberapa orang peserta turut membangkitkan had batasan serta ketidaktepatan tinjuan tersebut. Malah, ada yang ragu terhadap kebebasan tinjauan tersebut apabila mereka bertanya Nunzio mengenai keuntungan yang diperolehi dan berapakah ramai kakitangannya dari kalangan ahli akademik. Bagaimanapun, beliau tidak menjawab soalan-soalan tersebut.

Ada peserta yang menyifatkan tinjauan tersebut seperti "membandingkan epal dengan oren' kerana ia membanding universiti yang berlainan saiz dan fungsi-fungsinya.

Pihak pentadbiran universiti juga turut diingatkan supaya jangan terperangkap dalam 'pertandingan ratu cantik universiti' dan menukar dasar-dasarnya mengikut ranking, daripada objektif kriterianya.

Nunzio, bagaimanapun, mempertahankan tinjauan tersebut dengan menyatakan beliau telah menggunakan data yang ada dan data perbandingan yang diperolehinya daripada kira-kira 30,000 universiti.

Ditanya mengenai butiran terperinci kaedah yang digunakan, beliau berkata, ia akan diterbitkan pada bulan Januari depan. Ditanya bagaimana peraturan bagi setiap kriteria itu ditetapkan, Nunzio berkata, ia diputuskan oleh rakan kongsinya.

Ini adalah tahun kedua tinjauan itu dibuat. Tahun depan, format ranking tersebut akan ditukar kepada set data yang membolehkan orang ramai menentukan sendiri ranking mereka, berdasarkan kriteria mereka sendiri, tambahnya.Berita asal