'Perarakan Kemerdekaan' anjuran Pemuda Parti Keadilan Nasional Melaka akan tetap diteruskan Ahad ini walau mendapat halangan daripada polis, satu sumber parti itu mengesahkan hari ini.

Perarakan aman sejauh kira-kira tiga kilometer itu dijangka berlangsung jam 10 pagi. Ia bermula di stesen bas di bandar itu dan menuju ke ibu pejabat polis daerah Melaka Tengah sebelum ke kompleks membeli belah Melaka Parade.

"Tujuan perarakan itu diadakan sempena dengan laporan polis yang akan dibuat berhubung (dakwaan) penyelewengan exco kerajaan dan wakil rakyat negeri ini," kata sumber itu lagi.

Tambahnya, Pemuda Keadilan juga akan membuat aduan mengenai penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan larangan ceramah yang berkuatkuasa di seluruh negara mulai bulan lalu. Laporan berkaitan isu rawatan sakit tulang belakang bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut dibuat.

Polis hari ini menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai acara itu kerana setakat ini tiada permit diluluskan kepada mana-mana pihak bagi menganjurkan sebarang perarakan atau perhimpunan di Melaka seperti yang terdapat dalam risalah yang disebarkan.

Menurut laporan agensi berita Bernama, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Mohamed Salim Abbas berkata tindakan tegas akan diambil terhadap peserta acara berkenaan.

Polis juga telah bersiap sedia untuk mengawal keadaan dan memastikan perarakan itu tidak akan diadakan, tambahnya.

Sementara itu Keadilan bahagian Shah Alam dijadual membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) petang esok berhubung kegagalan parti menganjurkan 'karnival rakyat' di Jalan Kebun, Klang akibat gangguan polis secara besar-besaran.

Pada 4 Ogos, polis mengerahkan 850 anggota berpakaian seragam, termasuk pasukan-pasukan Gerak Am dan antirusuhan bagi menghalang acara itu yang asalnya dirancang selama dua hari bermula hari itu.

Acara-acara yang diatur dalam karrnival itu termasuk solat subuh secara berjemaah, jogathon, hari keluarga, pertandingan melukis untuk kanak-kanak dan kempen menderma darah, selain ceramah politik pada sebelah malam.