Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang yang baik untuk menang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan, Pengkalan Pasir.

Beliau berkata jentera BN perlu bekerja bersunguh-sunguh dan ikhlas mendekati pengundi bagi mendapatkan sokongan mereka.

Menurut laporan BErnama, beliau berkata, isu yang sering dimainkan PAS juga tidak lagi dapat mempengaruhi pengundi kerana mereka sekarang lebih faham mengenai sesuatu perkara serta tidak mudah terpengaruh.

"Peluang BN menang adalah baik, tapi kita kena buat keja bersunguh-sunguh, pujuk pengundi menyokong kita," katanya kepada pemberita pada majlis jamuan Aidilfitri anjuran anaknya, yang juga Anggota Exco Pemuda Umno Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir di Taman Tema Bandar Darul Aman, di Jitra.

Mengenai cadangan supaya kerajaan Kelantan yang dipimpin PAS membubarkan Dewan Undangan Negeri jika BN menang, Dr Mahathir berkata itu adalah hak kerajaan negeri itu, walaupun digesa supaya bubar tetapi hak mutlak terletak di tangan PAS.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil PAS Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Okt lepas akibat kanser hati.

Suruhanjaya Pilihanraya menetapkan 27 November ini sebagai hari penamaan calon dan 6 Disember ialah hari mengundi.

Formula Terengganu

Sementara itu Menteri Besar Terengganu, Datuk Idris Jusoh pula berkata semanagat ""gelombang biru" akan dibawa ke Kelantan bagi membantu Barisan Nasional merampas Kelantan daripada PAS

Ketika melancarkan program Gelombang Biru di Pasir Mas hari ini, beliau berkata yakin semangat dan formula kejayaan BN Terengganu mampu membantu menumpas PAS di Kelantan.

Katanya, beliau membawa rombongan pemimpin negeri itu, termasuk timbalan menteri, Exco kerajaan, ketua pemuda, wanita dan puteri untuk membawa semangat kesedaran dan keinsafan betapa seriknya rakyat Terengganu di bawah pemerintahan PAS.

"Kita datang dengan tujuan murni untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat Kelantan, terutama pengundi Pengkalan Pasir supaya menolak PAS", katanya ketika melancarkan Gelombang Biru di kawasan peti undi Banggol Kemian di Pasir Mas.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, Umno dan BN Terengganu ingin melihat rakyat Kelantan menikmati kecemerlangan dalam pelbagai aspek di bawah BN yang mempunyai rekod perkhidmaan cemerlang bagi membela nasib rakyat di negara ini.

'Sebar fitnah'

Menurutnya, Rakyat Terengganu bangkit dengan semangat Gelombang Biru kerana sedar pemerintahan PAS hanya bertopengkan agama dengan pelbagai tindakan yang memalukan termasuk menggunakan wang zakat untuk kepentingan individu tertentu.

"Sebelum ini PAS menentang perkongsian kuasa dengan bukan Melayu, mengharamkan penggunaan internet, tidak membenarkan wanita dilantik sebagai pemimpin, tidak membenarkan wanita bekerja malam dan tidak mengambil wanita cantik bekerja"

"Tetapi sekarang ini, mereka berebut melantik wanita sebagai senator dan menyalahgunakan internet untuk menyebar fitnah", kata Idris.

Bercakap kepada pemberita kemudian, katanya sejak anggota beliau turun membantu Umno Kelantan, beliau mula melihat perubahan di kalangan pengundi terutama di kawasan kubu kuat PAS di Lubuk Achil di sini.

"Sebelum ini susah untuk menaikkan bendera di kawasan itu tetapi kini kita boleh berceramah di kawasan rumah mereka", kata beliau.

Melalui program itu, katanya, BN dan Umno Terengganu akan menjelaskan kepada pengundi Pengkalan Pasir mengenai pengalaman rakyat Terengganu yang mengubah pemerintahan PAS kepada BN selepas serik dengan parti itu.