Ibrahim Ali: Saya sedia berbincang
Bekas Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata beliau bersedia berbincang dengan mana-mana pihak sebelum membuat keputusan muktamad sama ada akan turut bertanding dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada 6 Disember ini.
Bekas Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata beliau bersedia berbincang dengan mana-mana pihak sebelum membuat keputusan muktamad sama ada akan turut bertanding dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada 6 Disember ini.
Katanya, beliau sedia berbincang dengan pihak yang boleh mengembalikan maruahnya yang tercemar kerana dipecat daripada jawatannya dan dibuang parti.
Ibrahim yang dipecat dari Umno selepas bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya umum lalu, telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di Pengkalan Pasir kerana mendakwa mempunyai ramai penyokong setianya di kawasan itu.
"Setakat ini saya akan bertanding tetapi jika ada (pihak) yang boleh membela maruah saya, saya boleh mempertimbangkan demi kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan ceramah di bilik gerakannya di Pasir Mas malam tadi.
Menurut laporan Bernama, Ibrahim berkata beliau akan bertanding sebagai calon rakyat dan bukannya calon bebas kerana amalan demokrasi membenarkan mana-mana individu yang memenuhi syarat untuk bertanding.
Calon rakyat
Ketika ditanya mengapa beliau mahu bertanding sekali lagi selepas kalah dalam pilihanraya umum lalu, Ibrahim berkata beliau bertanding untuk kepentingan rakyat Pasir Mas dan bagi membela maruah serta imejnya sebagai ahli politik.
Dalam pilihanraya umum lalu, Ibrahim bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi parlimen Pasir Mas dan mendapat 6,198 undi. Kerusi tersebut dimenangi calon PAS Ismail Nuh dengan 17,526 undi yang turut mengalahkan calon BN Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman yang mendapat 16,275 undi.
Mengenai tindakan segelintir pihak yang menyifatkan beliau sebagai 'pengacau' Ibrahim berkata, pihak yang berkata demikian tidak memahami amalan demokrasi sebenar.
Penganalisis politik berpendapat kehadiran Ibrahim akan menjadi faktor penyumbang kepada pemecahan undi calon PAS dan calon BN kelak, sepertimana yang berlaku dalam pilihanraya umum lalu. Hari hari penamaan calon ialah pada 27 November ini.
Pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari PAS Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober lalu akibat kanser hati. Wan Abdul Aziz menewaskan calon BN Hanafi Mamat dengan kelebihan 56 undi.

