Isu Pemberontakan di selatan Thailand dijangka menjadi tumpuan perbincangan apabila bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan lawatan dua hari ke ibu negara Thailand ini bermula Isnin ini.

Dr Mahathir, yang kali terakhir berada di Bangkok bagi menghadiri forum antarabangsa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada Oktober 2003 sebelum bersara beberapa hari selepas itu, dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra.

Pertemuan mereka akan berlangsung di Ban Phitsanulok sebelum menghadiri jamuan malam sempena lawatan itu.

Dr Mahathir juga akan mengadap Raja dan Permaisuri di Istana Klaikangwon pada hari Selasa sebelum berlepas pulang ke tanahair.

Menurut pegawai Malaysia dan Thailand, tiada majlis umum atau agenda khusus dijadualkan kerana lawatan Dr Mahathir adalah sebagai tetamu peribadi bekas Perdana Menteri Thailand Anand Panyarachun.

Menurut laporan Bernama, Anand, pengerusi Jawatankuasa Perdamaian Nasional yang memainkan peranan utama dalam mencari penyelesaian terhadap keadaan huru-hara di selatan, menjemput Dr Mahathir ke ibu negara Thailand itu semasa pertemuan mereka di Kuala Lumpur bulan lalu.

Penyelesaian konkrit

Semasa lawatannya ke Kuala Lumpur, Anand turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kedua-dua pemimpin itu membincangkan masalah keganasan di selatan dan nasib 131 penduduk Islam Thailand yang melarikan diri ke Kelantan Ogos lalu.

Nasib kumpulan itu telah mencetuskan kontroversi diplomatik di antara kedua-dua kerajaan yang masih membincangkan penyelesaian terhadap masalah itu.

Sementara tiada penyelesaian konkrit dijangkakan daripada lawatan Dr Mahathir, para pemerhati di Bangkok berharap ia akan membuka laluan bagi kerjasama dan persefahaman lebih baik di antara kedua-dua negara.

"Thaksin memandang tinggi Tun Mahathir. Mungkin Tun boleh menawarkan beberapa penyelsaian terhadap masalah itu yang telah menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara," kata seorang diplomat.

Thailand didesak oleh masyarakat antarabangsa untuk menamatkan keadaan huru-hara dan memulihkan keamanan di wilayah selatan yang penduduknya majoriti Islam, termasuk daripada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).