Pada 16 Oktober 1973, lebih 4,000 orang mahasiswa seluruh Malaysia di bawah pimpinan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, telah berhimpun di depan Kedutaan Amerika untuk membantah tindakan negara itu masuk campur dalam perang di Timur Tengah.

Pihak polis membiarkan mahasiswa melaungkan tuntutan keamanan dan kebebasan, sekuat hati mereka.

Pada 8 Jun 2001, Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA memimpin lebih 500 mahasiswa berhimpun di depan Masjid Negara untuk mengecam penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh pihak pemerintah ke atas aktivis-aktivis sosial dengan menahan mereka tanpa dibicarakan.

Tujuh mahasiswa ditangkap dan didakwa di bawah Akta Polis serta digantung pengajian.

Baru-baru ini, 200 mahasiswa yang bergabung di bawah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) membantah melalui pelbagai saluran dan bentuk terhadap proses Pilihanraya Kampus yang mereka dakwa tidak adil dan tidak bebas.

Pihak universiti mengambil tindakan tatatertib universiti ke atas 10 mahasiswa atas alasan melanggari Akta Universiti dan Kolej Universiti(Auku).

Hakikatnya, perjuangan mahasiswa negara ini tidak pernah lenyap walaupun Auku yang dibentuk pada 1971, telah dipinda pada 1975 untuk menyekat kebebasan bersuara dan berorganisasi para mahasiswa dan ahli akademik.

Biarpun bentuk dan agenda perjuangan berubah mengikut keadaan semasa dan cabaran terkini, namun yang pastinya masih terdapat mahasiswa yang enggan mengalah kepada tekanan tersebut.

Janganlah kita lupa bahawa Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara dua pemimpin negara yang juga aktivis mahasiswa suatu ketika dulu.

Mahasiswa berjiwa bebas

Bagaimanapun, golongan yang beridealisme ini semakin kecil hari ini. Majoriti mahasiswa masih hidup di bawah belenggu ketakutan, khususnya apabila mereka makin menghampiri pagar Auku yang dipasangkan rencatan elektrik. Akibatnya, ada yang tunduk saja kepada kuasa besar dan ada pula yang menyebelahi mereka untuk mengukuhkan lagi status quo yang sedia wujud.

Semua babak yang ditayangkan dalam komuniti kampus ini tidak akan berhenti begitu sahaja selepas seseorang itu tamat pengajian. Prinsip hidup dan sikap yang terbentuk dalam acuan Auku akan dibawa sepanjang hidup seseorang itu, sama Ada progresif mahupun konservatif.

Golongan yang progresif akan sentiasa berusaha membawa perubahan atas dasar terbuka dan pro-rakyat manakala kumpulan konservatif akan cuba mengekalkan kuasa dengan apa cara jua, agar kepentingan ekonomi dan politiknya terjamin.

Segala gerakan rakyat, termasuk gerakan mahasiswa adalah responsif. Mahasiswa yang berjiwa bebas adalah kubu demokrasi bangsa. Oleh itu, mahasiswa perlu bersatu dan memberi solidariti satu sama lain, seperti tokoh-tokoh negara dulukala menentang kuasa besar penjajah.

Mahasiswa adalah harapan bangsa, tidak kira di mana jua, sama ada negara barat mahupun timur. Golongan terpelajar ini adalah kubu kuat yang mampu menentang segala penindasan dan eksploitasi ke atas rakyat.

Kumpulan yang tidak mempunyai kepentingan dalam masyarakat ini sanggup memperjuangkan keadilan dan kebenaran untuk seluruh rakyat demi pembentukan sebuah masyarakat yang ideal, bebas dari korupsi dan keganasan.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Diraja Ungku Aziz pernah berpesan dalam kata pengantar buat buku berjudul Mahasiswa Mengugat: "Biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar".

Sesungguhnya, masyarakat menaruh harapan tinggi pada mahasiswa tetapi tidak memberi peluang kepada mereka untuk belajar dan melakukan kesilapan. Sebaliknya mereka dikongkong melalui pelbagai cara.

(Penulis adalah bekas Setiausaha Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia, DEMA)