Menteri Besar Selangor yang baru, Amirudin Shari menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok Dr Idris Ahmad walaupun diserang berkaitan isu pelantikannya.

Katanya, beliau tidak mahu melihat kepada soal perbezaan antara kepimpinannya dengan Idris sebaliknya percaya banyak persamaan dalam hala tuju Pakatan Harapan yang memungkinkan dan membolehkan kedua-duanya bekerjasama dalam satu pasukan, lapor Utusan Malaysia.

“Sebagai menteri besar, saya kena baik dengan semua, saya akan meraikan siapa sahaja termasuk pembangkang jika dia ada idea yang baik serta rasional.

“Perbezaan itu biasa, jadi lebih baik fokus kepada agenda bersama,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Selasa lalu, Amirudin dipilih dan mengangkat sumpah bagi memegang jawatan itu di Istana Alam Shah, Klang.

Dalam sidang media berasingan, Idris secara terbuka mendakwa Amirudin tidak mendapat sokongan daripada komponen HARAPAN, kecuali dari timbalan presiden PKR yang juga bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamad Azmin Ali seorang sahaja.