Surat Abu Amer Mujahed bertajuk Jadikan Ibrahim Ali calon PAS menampakkan beliau tidak begitu menaruh harapan terhadap PAS untuk memenangi pilihanraya kecil kali Pengkalan Pasir.

Beliau begitu mengharapkan yang pimpinan PAS Kelantan meletakkan Datuk Ibrahim Ali sebagai calon PAS. Ini sungguh memalukan parti PAS. Siapa Ibrahim jikalau dibandingkan dengan parti PAS? Apakah yang hebat sangat tentang Ibrahim ini sampai ada di kalangan ahli PAS sendiri ingin mencalonkan beliau bertanding atas tiket PAS?

Abu Amer Mujahed ini saya percaya adalah ahli PAS yang bermati-matian ingin melihat kemenangan PAS pada pilihanraya kecil ini.

Beliau seperti tidak percaya akan kekuatan parti beliau sendiri sehinggakan sanggup mengadaikan maruah parti untuk memilih orng luar.

Betul bukan semua pemimpin Umno yang menerima dan memberi rasuah, tetapi dasar Umno adalah dasar yang hanya pro kepada yang kaya tetapi tidak kepada rakyat biasa. Kita bukan menidakkan hak Ibrahim bertanding. Kita harus fikir prinsip perjuangan Ibrahim dengan Barisan Alternatif (BA) begitu jauh berbeza dari segi matlamat dan perjuangan.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah menyatakan Ibrahim tidak layak bertanding atas tiket Barisan Alternatif (BA) apatah lagi untuk menerajui kerusi Perhubungan Negeri Kelantan bahkan untuk menjadi ahli PKR pun tidak mungkin diterima.

Ibrahim walaupun bersuara lantang di kampungnya tetapi beliau adalah individu yang ketinggalan dari segi pemikiran politik. Beliau bukan memperjuangankan hak rakyat, di mana jelas di setiap ceramah-ceramah beliau di atas pentas PAS beliau memperjuangkan satu kaum sahaja iaitu Melayu.

Kita jangan mengadaikan prinsip kita semata-mata untuk kemenangan. Jikalau pimpinan PAS Kelantan tidak memperdulikan Ibrahim sudah tentu beliau ini sudah lama dilupakan. Sebenarnya saham Ibrahim melonjak disebabkan oleh pimpinan PAS selalu ingin berdampingan dengannya.

PAS ada kekuatan untuk menang di Pengkalan Pasir, cuma PAS harus berubah dari segi pemikiran politik dan senantiasa berunding dengan PKR tentang masalah, strategi dan isu-isu semasa. PAS memang berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk muncul apabila penamaan calon ini. Anwar adalah `survival` politik PAS di Pengkalan Pasir pada pilihanraya kali ini.

Semasa Mukatamar PAS tahun lepas banyak tuduhan dan lontaran bahawa Anwar, kononnya tidak boleh dipercayai malah ada mengatakan bahawa Anwar akan masuk Umno. Tetapi kini PAS jelas memerlukan beliau untuk berkempen pada pilihanraya kecil ini.

Kita tolak Ibrahim . Teruskan dengan semangat Barisan Alternatif. Kita lawan Umno dan Ibrahim. Jikalau menang, ini mesej jelas bahawa PAS dan PKR bukan sahaja masih diterima oleh rakyat Pengkalan Pasir bahkan untuk pilihanraya 2008 nanti.