Kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menggantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) Bursa Malaysia, menurut dua sumber.

Ia sebahagian daripada siri pertukaran pengurusan kanan yang dijalankan oleh kerajaan baru Pakatan Harapan, lapor Reuters.

Perkhidmatan Datuk Seri Tajuddin Atan sepatutnya tamat Mac bulan depan, tetapi kedudukan itu mungkin dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari ini, menurut seorang penasihat kerajaan.

Setakat ini, keputusan muktamadnya masih belum jelas.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat kabinet, hari ini juga ditanya sama ada kerajaan akan menggantikan Tajuddin.

"Ia tidak dibincangkan,” katanya ringkas.

Sebelum dilantik sebagai CEO Bursa Malaysia pada 2011, Tajuddin adalah Pengarah Urusan Kumpulan RHB Capital Berhad.

Mahathir juga mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji cadangan pautan dagangan antara Bursa Malaysia dan Singapura.

Ketika ditanya sama ada kerajaan merancang untuk menggantikan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, perdana menteri berkata: "Saya tidak tahu mengenainya.”