PAS pusat menyerahkan kepada Perhubungan PAS Kelantan untuk memilih calon bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ahli PAS akan menerima sesiapa juga yang ditentukan oleh parti sebagai calon kerana yakin pengundi di Kelantan lebih mementingkan parti daripada calon.

"Terpulang kepada Perhubungan PAS negeri untuk melantik siapa, sama ada orang tempatan atau bukan, dan menghantar nama itu kepada pusat. Keputusan muktamad akan dibuat oleh jawatankuasa pusat.

"Kita telah menang kawasan Pengkalan Pasir dalam pilihanraya umum 2004, kita akan pertahankan kawasan kita. Lagipun Pasir Mas istimewa bagi PAS kerana mempunyai penyokong akar umbi yang kuat sejak 1959 lagi," katanya.

Menurut laporan Bernama, Abdul Hadi menegaskan demikian ketika menziarahi keluarga Allahyarham Wan Abdul Aziz Wan Jaafar, 55, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Pasir yang meninggal dunia pagi semalam akibat kanser hati.

Kematian Adun Pengkalan Pasir itu membuka ruang kepada pilihanraya kecil DUN itu yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari bermula semalam.

Dalam pilihanraya umum lalu, Wan Abdul Aziz yang bertanding atas tiket PAS menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Hanafi Mamat dengan majoriti tipis 56 undi. Wan Abdul Aziz mendapat 7,168 undi manakala Hanafi 7,112 undi.

Abdul Hadi berkata PAS berharap dapat mengekalkan kemenangan di DUN Pengkalan Pasir kerana pilihanraya kecil itu akan mengukur sejauhmana sokongan rakyat Kelantan kepada PAS setelah lebih setahun pilihanraya umum berlalu.

Kemenangan penting

Jika kemenangan berpihak kepada BN yang merupakan pembangkang di Kelantan, kedudukan PAS dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan akan semakin meruncing dengan hanya kelebihan satu kerusi, katanya.

Kelantan adalah satu-satunya negeri di bawah pimpinan Pas apabila parti itu menguasai 24 daripada 45 kerusi DUN dalam pilihanraya umum 2004 manakala BN menang 21 kerusi.

Beliau juga mendakwa PAS mempunyai kelebihan berikutan prestasi BN yang semakin merosot ekoran pelbagai masalah dalaman yang dialami parti itu.

Abdul Hadi berkata, beliau akan menggerakkan jentera pilihanraya parti dari sekarang dan beliau sendiri akan turun padang sekiranya perlu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa, berkata parti itu telah mengenalpasti beberapa calon yang akan dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya DUN Pengkalan Pasir.

Katanya, nama mereka akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno secepat mungkin untuk diputuskan.

"Kita akan berbincang dulu dengan Bahagian Pasir Mas bagi menyenaraikan beberapa nama sebelum dibawa kepada presiden parti," katanya ketika ditemui di Kota Bharu.

Ikut kehendak rakyat

Annuar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Kelantan berkat, beberapa kriteria tertentu diambil kira sebelum seseorang calon itu dipilih sejajar dengan kehendak pengundi di kawasan terbabit.

Katanya, selain rapat dengan rakyat kawasan itu, calon juga mestilah seorang yang disenangi, bekerja kuat dan mampu menjadi pemimpin yang baik.

Annuar berkata, calon BN yang kalah dalam pilihanraya umum 2004, tidak semestinya dipilih semula tetapi pucuk pimpinan tetap akan mengambil kira faktor kehendak rakyat kawasan itu sekiranya mereka sukakan calon berkenaan.

Katanya, perbincangan awal mengenai persiapan, terutama dari segi logistik, akan diadakan di Pasir Mas dalam masa terdekat untuk menentukan gerak kerja pilihanraya berjalan dengan lancar dan berkesan.

Beliau berkata ,mesyuarat khas dengan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad akan diadakan dalam masa terdekat dengan dihadiri semua ketua-ketua bahagian.

Annuar berkata, pihaknya akan memberi tumpuan secukupnya bagi memastikan kemenangan calon BN pada pilihanraya nanti.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Kelantan, Nik Noriza Nik Salleh pula berkata, pergerakan itu juga akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menentukan kerja-kerja pilihanraya berjalan lancar.

Beliau berkata Ketua Puteri Umno Malaysia, Datuk Noraini Ahmad akan datang pada 6 November ini untuk mengaturkan tindakan Puteri dalam membantu jentera parti dengan berkesan.