Terjemahan Syarikat perdagangan Malaysia Mastek Sdn Bhd, yang dikatakan telah memberi wang sogokan terbanyak untuk memperolehi kontrak minyak-untuk-makanan yang membabitkan bekas pemimpin Iraq, Saddam Hussein, mengambil sikap 'membisu' mengenai dakwaan pembabitannya itu.

Syarikat tersebut yang terletak di Plaza Sentral, Kuala Lumpur, dimilik oleh ipar Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Noor Asiah Mahmood dan Faek Ahmad Shareef. Seorang lagi rakan kongsinya ialah warga negara India, Jaya Sudhir.

Faek, seorang pendatang rakyat Iraq, telah berkahwin dengan ipar Abdullah saudara perempuan kepada bekas isterinya, allahyarham Datin Seri Endon Mahmood tetapi pasangan itu telah bercerai. Manakala Noor Asiah adalah seorang lagi saudara perempuan Endon.

'Datang balik minggu depan'

Noor Asiah atau lebih dikenali sebagai 'Nonni' ketika ditemui di pejabatnya petang ini, telah menyampaikan pesanan melalui pembantunya bahawa buat masa ini beliau tidak mahu mengulas mengenai perkara itu. Noor Asiah, yang berpakaian merah jambu, kelihatan seiras dengan allahyarham Endon.

Ketika wartawan malaysiakini cuba menemuinya ketika beliau berjalan menuju ke bilik mesyuarat, pembantunya berkata: "Beliau sibuk dengan temujanji dan menghadiri mesyuarat hari ini".

Apabila wartawan berkenaan berkata yang dia sedia menunggu, pembantu tersebut berkata: "Kita belum lagi bersedia untuk membuat sebarang komen, sila datang lagi minggu depan, kita boleh mengaturkannya."

Menurut pembantu tersebut, dua lagi pengarah Faek dan Jaya juga tidak ada untuk memberi sebarang komen.

Bagaimanapun, akhbar New Straits Times hari ini memetik Faek sebagai berkata, penjualan peruntukan minyak itu 'hanyalah satu urusan perniagaan' dan ianya dilakukan di bawah penyeliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Terdapat beberapa kebenaran dalam laporan tersebut, tetapi ianya bukan kebenaran keseluruhannya, katanya, sambil menambah: "Saya membantu Iraq apabila berjuta-juta rakyatnya menderita kerana (negara itu dikenakan) sekatan."

Mastek beroperasi di pejabat yang agak sederhana walaupun siasatan PBB mendapati syarikat itu memberi sogokan AS$10 juta(RM38 juta) kepada regim Saddam untuk mendapatkan peruntukan minyak terbesar di bawah program minyak-untuk-makanan di bawah penyeliaan PBB.

Selain Mastek, ruang pejabat tersebut juga dikongsi bersama oleh empat lagi syarikat Obata-Ambar Holding Sdn Bhd, Arab Economic & Business Group Sdn Bhd dan dua syarikat pelancongan bernama Lawand Tourism dan Smas Travels Sdn Bhd.

Tidak banyak maklumat yang diperoleh imengenai Obata-Ambar dan the Arab Economic & Business Group. Manakala Smas Travels, yang ditubuhkan pada 1980, dengan modal dibenarkan sebanyak RM5 juta, manakala modal berbayarnya ialah RM1.9 juta. Selain Noor Asiah, seorang lagi pengarah Smas Travel ialah Haniff Mahmood, yang dipercayai mempunyai talian kekeluargaan dengan Noor Asiah.

Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Param Cumaraswamy ketika dihubungi berkata, beliau akan memberi komen selepas mendapat maklumat lanjut mengenainya./ Berita asal