Ahli Parlimen pembangkang tuntut hak sama rata
Dr Syed (PAS-Kuala Terengganu) berkata kerajaan mesti memberi layanan sama rata supaya segala hak yang diberi kepada ahli parlimen kerajaan juga dinikmati oleh pihak pembangkang.
"Kewujudan kami di dalam Dewan, seolah-olah hanya mampu membuat kacau," katanya ketika membahaskan pindaan Rang Undang-undang Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 di peringkat jawatankuasa.
Dr Syed berkata kerajaan sama sekali tidak mengambilkira dan menghormati martabat ahli Parlimen puak pembangkang.
Katanya lagi, wakil pembangkang juga dikecualikan daripada mengikuti taklimat kerajaan, apabila membincangkan beberapa isu penting berkaitan kerajaan seperti isu MAS, UEM dan Renong.
Sebaliknya pembangkang hanya mengetahui perkara itu melalui akhbar kerajaan saja, tambah Dr Syed.
Di samping itu, wakil pembangkang juga tidak mendapat hak untuk membuat lawatan ke jabatan-jabatan, agensi-agensi Persekutuan atau lawatan ke sekolah-sekolah di kawasan Parlimen masing-masing.
"Seolah-olah kami dianggap sebagai satu musuh oleh institusi pendidikan dalam kawasan kami sendiri," tegas Dr Syed.
Beliau menolak dakwaan bahawa pihak pembangkang masuk ke sekolah-sekolah hanya untuk meracuni pemikiran para pelajar.
Beliau turut membangkitkan soal peruntukan tahunan sebanyak setengah juta ringgit kepada ahli-ahli Parlimen tetapi tidak pernah diterima oleh wakil pembangkang.
Parlimen tidak berpindah
Wakil PAS itu juga menyebutkan kerajaan Terengganu, yang kini diperintah oleh PAS, "tidak membezakan dan ikut memberi taklimat kepada pihak pembangkang" di sidang Dewan Undang Negeri.
"Wakil rakyat pembangkang adalah wakil yang dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi juga bertanggungjawab untuk memajukan negara ini," katanya.
Terdahulu, dalam jawapan penggulungan perbahasan rang undang-undang tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim menjelaskan hampir RM42 juta diperuntukkan dalam kerja membaikpulih Parlimen.
Katanya pihak kerajaan juga tidak ada cadangan untuk memindahkan parlimen ke pusat pentadbiran Putrajaya kerana perkara itu berkait rapat dengan sentimen kenegaraan.

