Sobri: Suhaimi Ibrahim masih kuasai GPMS
Muhammad RazifPublished: Oct 27, 2005 1:27 PM | Updated: Jan 29, 2008 6:21 PM
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) masih dikuasai barisan kepimpinan sedia ada yang diketuai Datuk Suhaimi Ibrahim (foto) kerana mesyuarat Majlis tertinggi (MT) yang diadakan pada petang Selasa lalu adalah sah, kata Setiausaha Agungnya, Sobri Ahmad.
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) masih dikuasai barisan kepimpinan sedia ada yang diketuai Datuk Suhaimi Ibrahim (foto) kerana mesyuarat Majlis tertinggi (MT) yang diadakan pada petang Selasa lalu adalah sah, kata Setiausaha Agungnya, Sobri Ahmad. Menurutnya, mesyuarat tersebut dihadiri 17 daripada 25 ahli MT dan jumlah itu melebihi korum yang ditetapkan.
Tambahan pula, katanya, semua keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu dipersetujui sebulat suara.
"Oleh itu, tidak timbul soal ambilalih kuasa yang didakwa oleh bekas Timbalan Presiden, Shahrir Rejab (foto) dan bekas Setiausaha Agung, Syed Anuar Syed Ahmad semalam. "Shahrir dan Syed Anuar telah dipecat serta-merta selepas mesyuarat tersebut. Macam mana orang yang bukan lagi ahli GPMS, boleh dilantik sebagai pemangku presiden," katanya.

Petang semalam, Shahrir (foto) bersama enam ahli MT GPMS lain serta 10 jawatankuasa peringkat negeri, mengisytiharkan pengambilalihan kepimpinan GPMS berkuatkuasa serta-merta.
Sepuluh jawatankuasa negeri itu adalah dari Pahang, Wilayah Persekutuan, Melaka, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu
Sehubungan itu, Sobri juga meminta Shahrir menyatakan siapakan yang menjadi wakil-wakil peringkat negeri itu.
"Bagaimana GPMS Pahang menghantar wakilnya sedangkan pengerusi bagi negeri itu adalah Datuk Suhaimi sendiri. Saya sendiri Pengerusi GPMS Wilayah Persekutuan, mengapa pula saya nak hantar wakil?" soal beliau.
Sobri yang dihubungi malaysiakini menjelaskan, mesyuarat MT diadakan mengikut peraturan dan perlembagaan GPMS di mana semua ahli MT telah dihubungi dan diberitahu sama ada melalui surat, faks atau telefon supaya menghadirinya.
Beliau juga menegaskan, tidak timbul soal tidak cukup korum kerana semua ahli MT yang dipilih dan dilantik mempunyai kuasa dan hak yang sama, termasuk untuk mengundi dalam mesyuarat.
"Mesyuarat MT yang kami adakan Selasa lalu adalah sah, mengikut peraturan dan perlembagaan pertubuhan. Yang tidak sah ialah perjumpaan yang dianjurkan oleh Shahrir semalam," tegas Sobri.
Oleh itu, katanya, barisan kepimpinan GPMS sedia ada akan beroperasi seperti biasa dan persidangan agung khas yang dijadualkkan pada 17 dan 18 Disember ini, akan berjalan seperti biasa," ujarnya.
Hak ahli
Sobri juga menegaskan bahawa semua dakwaan dan tindakan Shahrir dan para penyokongnya itu hanya helah semata-mata dan cuba menafikan hak ahli-ahli GPMS dalam mementukan pucuk pimpinan persatuan.
Shahrir juga memberitahu sidang media bahawa dirinya juga telah dilantik sebagai pemangku presiden mengambilalih jawatan tersebut daripada Suhaimi.
Tindakan drastik Shahrir dan kumpulannya itu dibuat sehari selepas mesyuarat MT GPMS yang dipengerusikan oleh Suhaimi, memecatnya dan Syed Anuar serta menggantung keahlian seorang ahli MT, Jais Abdul Karim.
Kumpulan Shahrir adalah penyokong kuat Naib Presiden GPMS, Reezal Merican Naina Merican yang berhasrat mahu merebut jawatan presiden dalam persidangan agung yang bakal diadakan.
Mencabul demokrasi
Setiausaha Agung GPMS itu juga menyifatkan tindakan Shahrir dan para penyokongnya itu jelas tidak menghormati hak ahli-ahli GPMS, melanggar perlembagaan persatuan dan amalan demokrasi.
Beliau amat menyesali tindakan kumpulan Shahrir itu kerana ia akan memecahbelahkan perpaduan ahli dan merosakkan imej baik persatuan itu.
Sobri juga menasihatkan kakitangan dan ahli-ahli GPMS di seluruh negara supaya bertenang, bersabar dan terus setia pada persatuan serta berurusan seperti biasa.
Sobri juga mengalu-alukan kenyataan bekas Setiausaha Agung, Syed Anuar untuk menyiasat penyelewengan kewangan yang didakwa berlaku dalam pucuk pimpinan GPMS selama ini.
"Kita bersikap telus, tiada apa yang nak disembunyikan. Cuma saya hendak bertanya ke mana perginya segala rekod keahlian dan cawangan serta kutipan yuran keahlian selama enam tahun beliau menjadi setiausaha agung," tambahnya.
Sobri mengambilalih jawatan setiausaha agung pada April lalu selepas Syed Anuar meletakkan jawatannya.
View Comments0

