Rombakan kabinet seterusnya?
Selepas perletakan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Samad, sebilangan lagi menteri dan timbalan menteri yang tewas dalam pemilihan parti masing-masing, dijangka terbabit dalam rombakan kabinet seterusnya.
Selepas perletakan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Samad, sebilangan lagi menteri dan timbalan menteri yang tewas dalam pemilihan parti masing-masing, dijangka terbabit dalam rombakan kabinet seterusnya.
Antara mereka ialah menteri dari Umno yang gagal mempertahankan jawatan mereka dalam Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan parti yang lalu.
Mereka ialah Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzil; Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Shafie Salleh.
Manakala Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz pula dijangka bertukar portfolio dan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Menurut spekulasi, Menteri Pertanian, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka dilantik menggantikan Rafidah.
Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Radzi Sheikh Ahmad pula dijangka dilantik menggantikan Abdul Kadir sebagai Menteri Penerangan.
Manakala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Fu Ah Kiow dan Timbalan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho mungkin digugurkan, berikutan kegagalan mereka dalam persaingan bagi jawatan naib presiden dalam pemilihan MCA dua bulan lalu.
Bagi Gerakan pula, Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Kerk Choo Ting, yang tewas dalam pertandingan presiden parti itu Ogos lalu, dijangka digugurkan.
Tempat beliau dijangka diisi oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Ng Lip Yong.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menerima surat peletakan jawatan Isa dan menamakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk memangku portfolio berkenaan.
Perdana Menteri berkata beliau telah mempersembahkan surat dan soal peletakan jawatan itu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamallulail untuk mendapat perkenan Seri Paduka semalam.
"Saya nak ucap terima kasih kepada beliau (Mohamed Isa) atas jasa-jasa yang diberikan selama ini semasa beliau memegang beberapa jawatan dalam kerajaan, khususnya jawatan terakhirnya sebegai Menteri Wilayah Persekutuan serta beberapa jawatankuasa yang beliau anggotai," katanya.
Bercakap pada sidang akhbar selepas melawat Biro Pengaduan Awam di Putrajaya semalam, Abdullah berkata pemilihan Shahrizat dibuat kerana beliau adalah wakil rakyat dari Wilayah Persekutuan yang tentunya memahami masalah di situ.
Inilah komen pertama Abdullah berhubung perletakan jawatan Isa selepas Majlis Tertinggi Umno pada 7 Oktober lalu, menolak rayuannya terhadap hukuman penggantungan sebagai ahli parti kerana didapati terbabit dalam politik wang.

