Kita semua kongsi keperitan Chen, kata Kit Siang
Bukan hanya pengasas bersama DAP, Dr Chen Man Hin merasai keperitan mengenai keputusan parti untuk tidak bertanding menggunakan logo roket pada pilihan raya akan datang, kata pemimpin Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata keperitan itu dikongsi oleh semua pemimpin, penyokong dan ahli parti.
Beliau berkata keputusan DAP untuk bersetuju bertanding tanpa menggunakan logo roket pada PRU14 adalah keputusan "paling memeritkan dan melukakan hati" tetapi perlu buat semua pemimpin parti.
Lim berkata Pakatan Harapan terpaksa berbuat demikian untuk memperlihatkan perpaduan dan kesediaan bersama mereka untuk menyelamatkan Malaysia dari kleptokrasi.
"Kami mahu memastikan bukan sahaja calon individu dan DAP boleh menang pada pilihan raya umum ke-14, kami juga ingin memastikan semua calon HARAPAN dan semua empat parti komponen dapat (membentuk kerajaan persekutuan seterusnya).
"Cadangan supaya PKR, AMANAH dan BERSATU bertanding menggunakan logo bersama HARAPAN manakala DAP kekal menggunakan logo roket bukan satu pilihan, kerana kita mesti dapat menyakinkan pengundi dengan mesej bahawa semua empat parti bersatu sebagai satu kuasa politik," katanya.
Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan logo bersama mereka pada satu perhimpunan di Pasir Gudang, Johor, malam ini.
Gabungan pembangkang gagal menggunakan logo Harapan kerana ia tidak diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan yang juga memerintahkan pembubaran sementara BERSATU, semalam.

