Keadaan Ghafar terus stabil
Keadaan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba, yang dirawat di Pusat Perubatan Pantai di sini sejak Khamis lalu, terus stabil.
Keadaan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba, yang dirawat di Pusat Perubatan Pantai di sini sejak Khamis lalu, terus stabil.
"Keadaan Tun Ghafar masih sama. Beliau telah sedar dan mampu memberi tindak balas kepada anak-anaknya," kata Perunding Jantung PMC Datuk Dr Zainal Abidin Abdul Hamid dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Ghafar, 80, dipindahkan ke PMC Khamis lalu dari Pusat Perubatan Universiti Malaya kerana sakit dada sebelum itu.
Menurut laporan Bernama, anak beliau, Mohd Asri, yang ditemui di PMC hari ini berkata Ghafar tidak lagi perlu bergantung kepada topeng oksigen dan boleh bernafas sendiri.
Katanya topeng oksigen hanya digunakan sesekali sahaja.
"Keadaannya stabil tapi kami tidak akan membuat kenyataan lanjut. Biar doktor dan PMC sahaja yang membuat kenyataan," katanya.
Antara orang kenamaan yang melawat Ghafar hari ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed, bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Datuk Abdul Kadir Jasin.

