Malaysia tidak akan memberikan sebarang reaksi terhadap kenyataan keras pemimpin Thailand berhubung masalah di selatan negara itu walaupun kenyataan itu bukan sahaja menyinggung perasaan Kuala Lumpur tetapi juga boleh menimbulkan perselisihan faham antara kedua-dua negara.

Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata reaksi keras Bangkok berhubung tindakan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negara ini yang mahu rakyat Malaysia memulau barangan negara itu serta berdemonstrasi di hadapan kedutaan Thailand di Kuala Lumpur sebagai sesuatu yang tidak patut.

"Saya hairan dengan reaksi keras Thailand. Selagi perkara itu tidak melanggar undang-undang, kita tidak akan mengambil apa-apa tindakan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan sempena Ramadan dan Aidilfitri di kediamannya di Kota Tinggi kelmarin.

Katanya, Malaysia juga tidak akan mengambil sebarang tindakan berhubung demonstrasi yang kerap diadakan oleh rakyat Thailand di hadapan kedutaan negara di Bangkok.

"Kita juga berhadapan dengan demonstrasi rakyat mereka di hadapan kedutaan kita di Bangkok, dengan sepanduk yang memanggil Malaysia dengan bermacam-macam nama, tetapi kita tidak memberi sebarang reaksi kerana kita tahu demonstrasi itu bukan atas arahan kerajaan mereka," katanya.

Bersifat sempit

Menurut laporan Bernama, Syed Hamid berkata, walaupun NGO negara ini menyeru rakyat Malaysia memulaukan barangan Thailand tetapi hakikatnya banyak barangan negara itu terus membanjiri pasar-pasar negara ini.

"Kita tidak boleh bersifat sempit di mana jika ada perselisihan politik, hubungan ekonomi dan perdagangan akan terjejas. Kita perlu matang," kata beliau.

Malaysia, katanya, mempunyai dasar luar yang rasional dan tidak meletakkan sesuatu perselisihan faham sebagai penentu kepada hubungan dua halanya dengan negara tertentu sebaliknya sentiasa melihat kepada kepentingan jangka panjang.

Mengenai nasib 131 rakyat Thailand yang melarikan diri ke Malaysia, Syed Hamid yang juga ahli Parlimen Kota Tinggi berkata kerajaan tidak menghalang jika mereka mahu kembali ke negara asalnya.