Anak Menteri Besar Kelantan, yang pernah mendapat pendidikan di Pakistan, Nik Adli Nik Abdul Aziz ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini, menjadikan 10 orang semuanya ditangkap sejak Khamis.

Menurut laporan agensi berita Bernama malam ini, Nik Adli ditangkap di ibu pejabat polis Kota Bharu, Kelantan jam 10.30 pagi tadi.

Polis enggan mengesahkan sama ada tangkapan anak Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ini ada kaitan dengan tangkapan lapan orang anggota 'Kumpulan Mujahidin Malaysia' (KMM) pada 2 Ogos.

Sementara seorang lagi, Mohd Lothfi Ariffin, ditangkap mengikut akta yang sama di Kg Sidek Kupang, Kedah kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai semalam mengesahkan polis sedang memantau lebih 50 anggota KMM sejak enam orang ditahan ISA pada Mei lalu.

Beliau juga dilaporkan berkata polis tidak menolak kemungkinan untuk menangkap lebih ramai anggota ini.

"Semua mereka pernah menjalani latihan jihad di Afghanistan atau pernah menjalani latihan ketenteraan di sana," kata Norian semalam.

Dalam operasi Khamis lalu, beberapa aktivis Pemuda PAS turut ditahan, termasuk ahli jawatankuasa Pemuda Johor Noor Ashid Sakip dan Ketua Pemuda kawasan Larut, Perak Ahmad Tajuddin Abu Bakar.

Enam yang lain, Solehan Abdul Ghaffar, Alias Ngah (kedua-duanya Kuala Terengganu), Zainun Ismail (Baling, Kedah), Abu Bakar Che Doi (Kuala Muda, Kedah), Asfawani Abdullah (Kuala Ketil, Kedah) dan Ahmad Pozi Darman (Hulu Tiram, Johor).

Menteri Besar Kelantan kesal dan sedih terhadap tindakan polis menahan anaknya menggunakan ISA.

"Saya tidak sugul sesiapa saja yang bersalah dikenakan tindakan tetapi (saya) sugul kenapa dia dikenakan tindakan ISA," kata Nik Abdul Aziz kepada wartawan di Kota Bharu.

Beliau berkata penahanan Nik Adli mengikut akta itu tidak mengikut prosedur keadilan. Beliau juga menafikan penglibatan anaknya dengan KMM.

April lalu, polis menahan 10 pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi di bawah akta itu. Sementara awal Julai, dua aktivis pelajar ditahan mengikut akta yang sama.

Enam daripada mereka kini ditahan selama dua tahun di kem Kamunting, Perak mulai 2 Jun. Mereka termasuklah Naib Presiden Tian Chua, Ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor, Dr Badrul Amin Bahron dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais.

Kerahan polis besar-besaran

Sementara itu di Jalan Kebun, Klang, sumber-sumber pembangkang memberitahu malaysiakini hari ini, polis mengerahkan 850 anggota berpakaian seragam, termasuk pasukan-pasukan Gerak Am dan antirusuhan, sejak 4 petang semalam bagi menghalang 'karnival rakyat' anjuran Parti Keadilan Nasional bahagian Shah Alam.

Dua buah kenderaan meriam air (water canon) dan dua buah helikopter juga ditempatkan di kawasan berkenaan.

Program yang dijadual berlangsung hari ini dan esok telah dibatalkan sejak semalam akibat kerahan besar-besaran pasukan keselamatan.

Acara-acara yang diatur dalam karrnival itu termasuk solat subuh secara berjemaah, jogathon, hari keluarga, pertandingan melukis untuk kanak-kanak dan kempen menderma darah, selain ceramah politik pada sebelah malam.

Beberapa sekatan jalan raya di kawasan terbabit diadakan, termasuk laluan masuk dari arah Lebuhraya Kesas. Polis menjadikan kawasan sekolah di kampung tersebut sebagai pangkalan operasi.

Bagaimanapun kerahan itu dikurangkan menjelang petang dan malam.

Sumber-sumber yang sama berkata, acara jogathon akan diteruskan jam 6.30 pagi esok di kawasan berdekatan. Sementara dua ceramah akan turut diadakan malam esok dan Isnin. Bagaimanapun malaysiakini gagal mengesahkan program ini dengan penganjur.

Tiada tangkapan atau kejadian tidak diingini berlaku di kawasan itu, yang mula menjadi kontroversi sejak November tahun lalu apabila polis menghalang empat pemimpin tertinggi parti komponen Barisan Alternatif dan lebih 10,000 penyokong di lebuhraya berkenaan.

Polis melarang semua program ceramah di kawasan terbuka sejak awal Julai. Sekurang-kurangnya 49 pemimpin dan penyokong PAS ditangkap di Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor sepanjang bulan lalu.

Turut ditahan di balai polis selama beberapa jam, ahli jawatankuasa pusat Mohamad Sabu dan Timbalan Ketua Pemuda Salehuddin Ayub.

Di Kuala Terengganu, ceramah politik malam ini yang dihadiri oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjalan lancar walau turut dihadiri sekumpulan polis. Acara itu diberhentikan lebih awal kerana hujan lebat.