Isa Samad letak jawatan
Menteri Wilayah Pesekutuan Tan Sri Mohd Isa Samad, akan meletakkan jawatannya dalam Kabinet hari ini atau esok.
Menteri Wilayah Pesekutuan Tan Sri Mohd Isa Samad, akan meletakkan jawatannya dalam Kabinet hari ini atau esok.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Badan Perhubungan Umno Terengganu di Rumah Rehat Kuala Berang di Terengganu.
Najib berkata, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu akan menyerahkan surat peletakan jawatan tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman.
"Saya sendiri belum tengok surat dia (Isa) tetapi saya difahamkan bahawa Tan Sri Isa akan meletak jawatan sama ada hari ini atau esok.
"Surat itu akan dihantar kepada pejabat Perdana Menteri, sama ada terus kepada Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara," katanya.
Politik wang
Menurut Bernama, beberapa akhbar tempatan hari ini melaporkan bahawa Mohd Isa, 56, akan menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan berkuatkuasa semalam.
Mohd Isa yang didapati bersalah kerana terbabit dalam politik wang pada pemilihan Umno September tahun lalu, dipercayai akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Samsudin esok.
Mengulas lanjut, Najib berkata adalah menjadi dasar bagi setiap pemimpin parti untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya mereka didapati bersalah.
"Ini bukan soal wajar atau tidak...ini sudah merupakan dasar parti.
"Oleh kerana ini sudah dijadikan sebagai dasar parti, ia tidak (timbul) soal budi bicara. Ini soal dasar parti dan semua orang terikat kepada dasar parti," katanya.
Isa membisu
Sementara itu, Isa terus membisu apabila pemberita cuba mendapatkan pengesahan mengenai laporan media bahawa beliau telah meletakkan jawatan daripada kabinet.
Cubaan beberapa pemberita menghubungi beliau melalui telefon sejak awal pagi sama ada tidak berjawab ataupun tidak mendapat reaksi sepatutnya.
"Waalaikum salam... tak dengarlah tak dengar....," kata beliau ketika dihubungi Bernama.
Beberapa panggilan susulan yang dibuat Bernama selepas itu disambut oleh mesin pesanan suara, malahan satu pesanan yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) juga tidak mendapat balasan.
Laporan akhbar hari ini menyebut Mohamed Isa, 56, telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutauan berkuatkuasa semalam dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkarnain Awang dipercayai akan menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada Samsudin esok.
Dalam sidang media di rumahnya Jumaat minggu lalu, Mohamed Isa berkata beliau menerima keputusan penggantungan sebagai anggota Umno itu dan bersedia meletakkan jawatan sebagai menteri.

