Pengisytiharan harta ahli politik tidak semestinya dibuat secara terbuka, kata Anggota parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus).

“Deklarasi aset itu adalah hak yang kita boleh laksanakan terhadap rakyat, tapi bukan semesti secara terbuka, (tetapi) secara parti, dalaman kerana isytihar aset terbuka boleh mendedahkan kepada pelbagai serangan lain terhadap pemilikan harta.

“Ada pro dan kontra,” katanya yang juga Bendahari Dewan Ulamak Pas.

Khairuddin berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada pengisytiharan harta perlu dibuat secara telus bagi menjawab tentang isu “kekayaan” beliau.

Soalan itu diajukan oleh bekas rakan seperjuangannya Mujahid Yusof (AMANAH-Parit Buntar) yang kini bersama parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Mujahid bertanya demikian setelah Khairuddin menyifatkan dakwaan PAS menerima duit Umno sebagai fitnah, dengan menjadikan serangan terhadap pembelian keretanya sebagai contoh.

Khairuddin tahun lalu diserang hebat di Internet selepas isterinya didakwa memuat naik gambar kereta mewah Audi Q7 yang dihadiahkannya.

"Kita dapat hadiah kereta dari En Somi"," menurut status di media sosial itu.

Kenderaan baru jenis itu bernilai kira-kira setengah juta ringgit.

Sementara itu, tidak puas hati dengan jawapan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS itu, Mujahid terus mengasak beliau dalam isu pengisytiharan harta itu.

Mujahid: Bukankah sebagai seorang penjawat awam perlu diketahui dari mana kejayaan dan di mana belanja?

Khairuddin: Isu ini ialah adakah kita perlu dedah aset kepada orang awam, itu boleh dibahas dan masing-masing ada pandangan. Tetapi memaklumkan aset kepada parti atau peringkat dalaman itu boleh dilakukan tak ada masalah.

Mujahid: Apakah PAS ada sistem untuk suruh ahli parlimen isytihar aset di hadapan pimpinan?

Khairuddin: Saya tidak perlu jawab soalan itu, itu urusan dalaman parti.

Mujahid awal tahun lalu telah membuat pengisytiharan hartanya di George Town, Pulau Pinang bagi membolehkan beliau bersikap telus kepada masyarakat.