'Ada hakim tak tahu mengenai Suhakam'
Setelah hampir dua dekad Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dibentuk, penubuhannya masih dilihat asing bagi kebanyakan orang termasuk beberapa orang hakim.
Perkara itu didedahkan oleh Pesuruhjaya Suhakam, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh dalam satu acara bertemu penduduk di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur Khamis lalu.
"Memang benar, saya menghadiri majlis di Mahkamah Tinggi Klang untuk perasmian mahkamah antipemerdagangan manusia dan beberapa hakim bertanya sama ada Suhakam adalah NGO.
"Hakim! Mereka tanya kepada saya (soalan itu)," kata Nik Salida yang menyatakan rasa terkejutnya kepada Malaysiakini.
Suhakam dibentuk oleh parlimen pada tahun 1999 dan menyerahkan laporannya kepada Jabatan Perdana Menteri.
Walaupun fungsi utamanya untuk menasihatkan kerajaan mengenai hak asasi manusia, laporan tahunannya tidak pernah dibahaskan di parlimen dan banyak cadangannya diabaikan kerajaan.
Ini mungkin antara lain disebabkan Suhakam tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan yang menyebabkannya dilihat sebagai harimau tidak bertaring oleh beberapa pihak yang berpendapat penubuhannya hanya untuk memenuhi matlamat PBB di negara anggota.
Acara "Suhakam Bersama Masyarakat" bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai hak asasi manusia dan fungsi suruhanjaya itu.
"Kami mahu didik rakyat atas alasan bahawa mereka mempunyai hak sebagai warganegara Malaysia tanpa mengira agama kerana ramai yang tidak tahu tentang hak mereka," kata Pesuruhjaya Lok Yim Pheng.
Walaupun terdapat kaunter aduan diletakkan pada acara itu, tiada sebarang aduan diterima.
Sesi soal jawab antara pesuruhjaya Suhakam dan kira-kira 100 penduduk setempat memberi petunjuk mengapa keadaan itu berlaku.
Kebanyakan peserta mengadu mengenai kekurangan ruang letak kereta, keadaan jalan raya yang teruk, masalah haiwan peliharaan di flat di sekitarnya dan sampah sarap yang dibuang dari tingkat atas.
"Kadang-kala mereka tidak tahu mana yang merupakan hak asasi manusia atau hak individu, jadi kita akan didik mereka mengenainya," kata Nik Salida.

