Walaupun ada persempadanan semula, Invoke optimistik peluang HARAPAN
Ramai yang berpendapat bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya yang baru diwartakan, akan memihak kepada kerajaan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Tetapi kajiselidik badan pemikir, Invoke, mendapati hanya segelintir kerusi parlimen Pakatan Harapan yang terjejas ekoran persempadanan semula itu.
Pengasas Invoke yang juga ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, dalam satu forum malam tadi mengenai kesan persempadanan semula itu, menyebut 13 kerusi yang paling terkesan.
Kerusi-kerusi ini menyaksikan pertambahan pengundi Melayu, dengan pengurangan pengundi bukan Melayu.
"Rajah menunjukkan kerusi parlimen di Semenanjung yang menyaksikan peningkatan lebih satu peratus pengundi Melayu di kawasan pilihan raya itu. Ia (persempadanan semula) hanya menjejaskan segelintir kerusi," katanya, sambil menunjukkan beberapa slot Powerpoint kepada hadirin.

Rafizi berhujah dakwaan bahawa langkah persempadanan semula itu akan menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memenangi majoriti yang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang, tidak disokong oleh fakta.
Tiga belas kerusi yang paling terkesan adalah - dengan beberapanya dikenal pasti dengan nama barunya - Sungai Buloh, Kapar, Hang Tuah Jaya, Hulu Langat, Bandar Tun Razak, Lumut, Bukit Gantang, Bangi, Lembah Pantai, Ipoh Timor, Shah Alam, Damansara dan Tanjung Piai.

Kerusi yang paling terkesan oleh persempadanan semula itu ialah Kapar yang menyaksikan peningkatan 15.4 peratus pengundi Melayu dan pengurangan 12.5 peratus pengundi bukan Melayu.
Menurut Rafizi, daripada 13 kerusi tersebut, hanya Shah Alam, Bukit Gantang dan Tanjong Piai di mana pembangkang akan kalah tipis.
Beliau juga menyatakan bahawa kebanyakan 13 kerusi yang terkesan itu adalah di Selangor.

Sebenarnya, tegas Rafizi, ia tidak begitu ketara di negeri-negeri lain.
"Saya tidak menunjukkan (data) di negeri-negeri lain untuk menunjukkan bahawa walaupun Selangor paling banyak terkesan oleh persempadanan semula, kami (HARAPAN) masih mendahului," tegasnya.
DAP 'pemenang terbesar'
Antara parti komponen komponen HARAPAN, PKR, katanya, adalah yang paling terjejas manakala DAP adalah "pemenang terbesar" dalam keseluruhan persempadanan semula itu.

"Anda boleh melihat coraknya," katany sambil menambah bahawa seluruh dunia tahu bahawa membawa dan mengumpul seramai mungkin bukan Melayu ke dalam kerusi yang sudahpun bermajoriti bukan Melayu, akan menjadikannya sebuah kerusi bukan Melayu 'super majoriti'.
Walaupun peningkatan pengundi Melayu dan pengurangan pengundi bukan Melayu di kawasan pilihan raya tertentu, Rafizi berkata HARAPAN masih boleh menang dengan selesa.

"Persempadanan semula itu, di mana perubahan komposisi pengundi diingatkan bertujuan untuk memihak kepada BN, tetapi kerana sokongan pengundi juga telah berubah di Selangor, kesannya tidak mengalih kerusi itu kepada BN tetapi hanya akan mengurangkan margin (kemenangan) HARAPAN."
Dan BN, dakwa naib presiden PKR itu, boleh "menggariskan semula sempadan sebanyak mungkin" tetapi ia tidak dapat mengawal pengundi yang baru mendaftar.
Itu, tegas Rafizi, telah dapat menseimbangkan kesan persempadanan semula .
Juga, tambahnya, turut terdapat perubahan tentang bagaimana orang Melayu akan mengundi.

