Laporan khas Warga Nepal, khususnya bekas tentera Gurkha, terkenal dengan semangat juang yang tinggi dan setia kepada tuannya. Sifat positif ini menjadi antara tarikan mengapa majikan berlumba-lumba mengambil mereka sebagai pengawal keselamatan.

Menurut seorang pegawai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri yang tidak namanya disebut, majikan tidak keberatan membayar gaji tinggi kepada mereka kerana yakin dengan sikap jujur, tekun dan disiplin tinggi mereka.

Pengawal keselamatan warga Nepal dibayar gaji RM1,200 sebulan, jauh lebih tinggi daripada gaji pengawal keselamatan tempatan.

Kerajaan mengenakan gaji minima sebanyak RM1,200 sebulan kepada majikan yang mengambil pengawal keselamatan Nepal dan jumlah itu dipersetujui oleh majikan masing-masing.

Jelas beliau lagi, kerajaan menetapkan gaji pengawal keselamatan Nepal ialah RM8 sejam manakala untuk rakyat tempatan ialah RM4.50.

"Para majikan tidak begitu menyenangi pengawal keselamatan tempatan, kerana ramai yang dikatakan malas dan tidak jujur seperti curi tulang, " jelas beliau.

Bidang tugas

Mengenai bidang tugas pengawal keselamatan Nepal di negara ini, pegawai itu menegaskan, mereka tidak dibenarkan mengawal kawasan-kawasan sensitif dan strategik seperti lapangan terbang, pelabuhan dan pejabat kerajaan di Putrajaya.
Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan membawa senjata api ketika bertugas.

"Mereka hanya boleh membawa cota dan jika mereka berdegil, tindakan tegas akan diambil, termasuk menghantar pulang dan lesen majikan mereka akan ditarik balik," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, mereka boleh mengawal pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan syarat mendapat kebenaran dan kelulusan kementerian terlebih dahulu.

Katanya, dasar pengambilan pengawal keselamatan Nepal untuk bekerja di negara ini, amat ketat untuk memastikan semua syarat yang ditetapkan, dipenuhi.

Menurutnya, pengawal keselamatan warga Nepal mesti bekas tentera, orang awam tidak dibenarkan bekerja sebagai pengawal keselamatan di negara ini.

"Jika kami mendapati biodata permohonan meragukan, KKDN akan merujuk perkara ini kepada Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengesahan," katanya.

Tindakan tegas

Beliau berkata, syarikat yang mahu mendapatkan khidmat pengawal keselamatan Nepal perlu membuat permohonan kepada kementerian berkenaan dengan menyertakan salinan pasport dan dokumen mengatakan mereka bekas tentera Kerajaan Nepal.

Kementerian akan menghantar permohonan tersebut kepada Jabatan Imigresen untuk kelulusan terakhir dan jika diluluskan, mereka dikenakan levi sebanyak RM1,300 setiap orang.

Menurut pegawai itu lagi, jika pengawal keselamatan Nepal tersebut melakukan kesalahan di negara ini, mereka akan dikenakan tindakan, termasuk dihantar pulang dan lesen agensi pekerjaaan yang membawa masuk mereka, akan ditarik balik.

Katanya, kontrak yang ditawarkan kepada mereka ialah selama tiga tahun. Jika majikan mahu menyambung khidmat mereka, permohonan hendaklah dibuat kepada KKDN untuk mendapatkan kelulusan.

Beliau berkata, mereka tidak dibenarkan berkahwin dengan warga tempatan kerana permit yang dikeluarkan untuk mereka hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Mereka juga tidak boleh menyertai sektor pekerjaan lain kerana kerajaan hanya membenarkan pengambilan mereka untuk menjadi pengawal keselamatan," tambahnya.

Menurutnya, selain pembayaran gaji minima sebanyak RM1,200 sebulan, urusan tempat tinggal dan rawatan perubatan serta tiket penerbangan, ditanggung oleh majikan.

Pegawai itu berkata, pihaknya menghadapi masalah menjalankan penguatkuasaan terhadap syarikat yang mengambil pengawal keselamatan Nepal kerana kekurangan kakitangan.