Sebanyak 87 SAR di lima buah negeri mula mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Lembaga Tadbir Sekolah-sekolah Agama Rakyat peringkat kebangsaan, Datuk Abu Bakar Ismail.

Sekolah terbabit di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Pahang sebelum ini telah menandatangani memorandum yang kemudiannya diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abu Bakar yang ditemui Bernama hari ini berkata, memorandum itu antara lain menggariskan penggunaan kurikulum yang diiktiraf di samping memberi tumpuan kepada pendidikan agama.

Katanya, kerajaan bagaimanapun telah bersetuju memberi bantuan kewangan itu tetapi tidak menyatakan jumlahnya.

Bantuan kewangan itu telahpun diterima oleh sekolah berkenaan baru-baru ini dan digunakan untuk membayar gaji tenaga pengajar, penyelenggaraan bangunan sekolah dan subsidi perbelanjaan makan minum pelajar di asrama.

Pencapaian

Abu Bakar berkata, selama ini sekolah terbabit menghadapi masalah untuk membuat pembayaran bagi keperluan itu kerana masing-masing hanya memperoleh sumber kewangan yang terhad daripada kerajaan negeri dan yuran pelajar sahaja.

Dengan bantuan daripada kerajaan pusat sekarang, para guru tidak lagi berasa gusar kerana pembayaran gaji bulanan mereka kini lebih stabil, kata Abu Bakar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Perlis.

Beliau berharap para guru di sekolah-sekolah agama rakyat tersebut dapat meningkatkan lagi semangat kerja mereka bagi memastikan setiap pelajar yang dibimbing memperolehi pencapaian kualiti yang tinggi baik dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum.

Katanya, skim bayaran gaji yang diberi kepada guru-guru di sekolah agama rakyat bantuan kerajaan itu adalah sama seperti skim gaji guru di sekolah bantuan kerajaan lain sekiranya mereka mempunyai kelulusan yang diiktiraf.

Guru yang tidak mempunyai kelulusan diberi taraf sebagai guru kontrak disamping diberi kursus.