Selain menguasai kutipan box office, penerbit Black Panther kini semakin boleh berbangga apabila filem itu dinobatkan sebagai 'Raja Twitter.'

Dalam kenyataan diumumkan Twitter, naskhah blockbuster terbitan Marvel itu menjadi filem paling banyak diperkatakan di laman sosial itu setakat ini.

Filem dibintangi Chadwick Boseman dan diarahkan Ryan Coogler itu berjaya mencatat lebih daripada 35 juta ciapan.

"Ciapan mengenai Black Panther begitu banyak hingga ia berjaya mengatasi dua lagi filem pecah panggung iaitu Star Wars: The Force Awakens dan Star Wars: The Last Jedi.

Januari lalu, penyanyi rap dan penulis lirik Kendrick Lamar memuat naik senarai runut bunyi  filem berkenaan dan menjadi ciapan paling banyak diulang.

Black Panther: The Album digubah dan diterbitkan Lamar yang juga pemenang anugerah Grammy.

"Black Panther The Album 2/9," kata Lamar. Ciapan itu diulang lebih daripada 240,000 kali.

Filem Marvel yang pertama kali mendapat arahan pengarah Afrika - America itu memecah rekod apabila meraih AS$201.8 juta di Amerika Utara pada hari-hari awal tayangannya bulan lalu.

Ia mencatat sejarah buka panggung paling besar bagi seorang pengarah berbangsa Afrika-Amerika.