Gattuso tak keji terjunan Welbeck
Media sosial dipenuhi kritikan penyokong bola sepak ke atas Danny Welbeck selepas didakwa sengaja menjatuhkan diri sendiri untuk mendapat sepakan penalti dalam saingan Liga Europa awal pagi tadi.
Sepakan penalti itu diberikan kepada Arsenal pada separuh masa pertama perlawanan bertemu AC Milan selepas Welbeck 'jatuh' di kiri pintu gol Azzurri meski pemain pertahanan dilihat tidak membuat cabaran yang melayakkan keputusan itu dibuat.
Arsenal mengakhiri perlawanan dengan kemenangan 3-1 menjadikan The Gunners mengatasi AC Milan dengan agregat 5-1.
Keputusan itu sekali gus membawa Arsenal melangkah selesa ke pusingan suku akhir liga berkenaan.
Bekas kapten pasukan England Alan Shearer menuduh Welbeck menipu pengadil, sementara jurulatih pasukan muda Manchester United Brian McCLair yang pernah melatih Welbeck berkata dia kecewa dengan penyerang berumur 27 tahun itu.
Rata-rata penggemar sukan itu turut mengecam tindakan Welbeck sebagai memalukan bola sepak Inggeris dan menyifatkan ia merupakan dive yang paling buruk dalam musim ini.
Ketika jurulatih The Gunners Arsene Wenger enggan memberi ulasan berkenaan insiden itu, jurulatih AC Milan Gennaro Gattuso tidak berkongsi pandangan secara beremosi.
Menurut Gattuso, tindakan Welbeck tidak seharusnya dijadikan ukuran terhadap kualiti bola sepak Inggeris.
"Welbeck pemain penyerang. Dia perlu buat apa saja yang perlu untuk menang. Kita tidak boleh jadikan ia sebagai ukuran terhadap kelab bola sepak Inggeris.
"Ketika saya menjadi seorang pemain, saya akan cuba manfaatkan situasi individu, tapi saya tidak akan nilai perkara ini," katanya.

