Idris: Hadi sudah bertugas seperti biasa
Setakat dua minggu Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-13 bersidang sehingga semalam, kelibat anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jarang sekali kelihatan di Dewan Rakyat.
Abdul Hadi yang juga presiden PAS sering menjadi kritikan, sindiran dan bahan ketawa sesetengah orang kerana keadaan itu dan sesekali mencetuskan polemik.
Bagaimanapun Naib Presiden PAS, Idris Ahmad ketika disoal ketiadaan presidennya menafikan ketidakhadiran Abdul Hadi sebagai suatu isu besar.
Sebaliknya Idris menegaskan Abdul Hadi sudah menjalankan tugasnya seperti biasa.
“Dia macam orang lainlah, datang Parlimen. Kenapa (kehadiran) presiden (ke parlimen orang tengok), (tetapi anggota parlimen) orang lain (tak datang) tak ada apa pun?" katanya kepada Malaysiakini di parlimen semalam.

Idris yang juga anggota parlimen Bukit Gantang juga menjelaskan Abdul Hadi sudah kembali bertugas seperti biasa
“Abdul Hadi masih jalankan tugas seperti biasa, tidak ada pemangku.
"Tuan Ibrahim timbalan presiden, dan saya naib,” katanya.
Idris berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung ketiadaannya Abdul Hadi menghadiri sidang terkini Dewan Rakyat.
Baca Hadi: Beri Gagasan Sejahtera satu penggal
Untuk rekod Abdul Hadi juga tidak hadir pada sesi sidang Dewan Rakyat lalu, namun ketidakhadirannya itu kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan beliau untuk turut sama di parlimen.
Keuzuran Abdul Hadi itu ekoran beliau pernah menjalani pembedahan mengganti injap jantung di Kuala Lumpur pada 16 Mei lalu.
Sepanjang tempoh bercuti itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik menjalankan tugas Abdul Hadi.
Dalam kenyataan ringkas IJN memaklumkan Abdul Hadi perlukan rehat yang mencukupi bagi membolehkan keadaannya pulih seperti sedia kala.
Difahamkan Abdul Hadi juga perlu menjalani rawatan susulan di IJN bagi memastikan keadaan kesihatan beliau terus berada dalam keadaan yang baik.

