Universiti Sains Malaysia mendenda RM150 seorang empat pelajar selepas didapati bersalah menyertai pertandingan debat di Singapura pada Mei lalu tanpa kebenaran rasmi universiti itu.

Empat pelajar Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) itu adalah Lim Khoon Ehua, Ong Wee Ling, Hoo Kam Fong dan Lim Gim Shin.

Menurut akhbar berbahasa Cina Sin Shew Jit Poh hari ini, jawatankuasa tatatertib USM mendapati mereka bersalah menyertai pertandingan Debat antara Universiti-universiti Singapura dan Malaysia, yang berlangsung 20 hingga 27 Mei.

Menurut akhbar itu, perbicaraan itu yang diadakan pagi semalam berlangsung kira-kira 45 minit.

Pada awal bulan lalu, Pengerusi PBT Lee Yen Ting dan Setiausaha Agungnya Choo Chon Kai telah dikenakan hukuman denda RM200 kerana didapati bersalah mengeluarkan kenyataan kepada akhbar Mei lalu dan menjual lencana kempen anti-ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) di kampus universiti itu.

Sementara itu, setiausaha agung Wanita DAP Teresa Kok dan ahli jawatankuasa pusat parti itu Chow Kon Yeow melahirkan kekesalan mereka dengan tindakan universiti itu.

"Halangan universiti terhadap PBT untuk menyertai aktiviti yang sihat memberikan gambaran kepada masyarakat umum bahawa Hal Ehwal Pelajar (HEP) bertindak amat tidak wajar terhadap pelajarnya," kata mereka, dalam surat kepada Naib Canselor USM Datuk Prof Dzulkifli Abdul Razak, hari ini.

"Sikap HEP itulah yang memaksa pemimpin PBT mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan perbahasan di Singapura tanpa kebenaran HEP," surat yang dihantar petang tadi dipetik.

Dua pemimpin DAP itu, yang juga bekas pelajar USM, berharap universiti itu dapat memberikan kelonggaran kepada pelajar menjalankan kegitaan yang menggalakkan perkembangan intelektual.