Exco Pemuda PAS Johor ditahan ISA, aktivis Perak ke Bukit Aman
Norashid Sakip, yang juga ketua Pemuda cawangan Sungai Bemut, ditangkap di balai polis Simpang Renggam kira-kira jam 11 pagi tadi.
Menurut Ketua Pemuda PAS Johor, Mazlan Aliman, guru Sekolah Menengah Agama Rakyat Mesriah itu dipanggil ke balai itu berhubung permit ceramah yang dijadual diadakan 12 Ogos ini.
Mazlan memberitahu malaysiakini, polis membawa Norashid ke rumahnya dalam kawasan sekolah itu, di Simpang Renggam, dan menggeledahnya selama 45 minit.
"Polis memberitahu isteri Norashid bahawa suaminya ditahan mengikut seksyen 73(1) akta itu," katanya.
Seksyen 73(1) membenarkan polis menahan seseorang sehingga 60 hari untuk soal siasatan tanpa perlu dibawa ke mahkamah.
Bagaimanapun, isteri Norashid tidak diberitahu sebab-sebab penangkapan suaminya itu. Aktivis Pemuda PAS itu kini dipercayai dibawa ke Johor Bahru.
Sementara itu di PERAK, Ketua Pemuda PAS Larut ditahan sekumpulan pegawai polis jam 10 pagi tadi dan dipercayai dibawa ke ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
Sumber-sumber pembangkang memberitahu malaysiakini tengah malam tadi, Tajuddin Abu Bakar dipercayai ditahan di kedainya di Selama.
Bagaimanapun, ketika berita ini ditulis, tujuan dan butiran lengkap tangkapan masih belum jelas.
April lalu, polis menahan 10 pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi di bawah akta itu. Sementara awal Julai, dua aktivis pelajar ditahan mengikut akta yang sama.
Enam daripada mereka kini ditahan selama dua tahun di kem Kamunting, Perak mulai 2 Jun. Mereka termasuklah Naib Presiden Tian Chua, Ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor, Dr Badrul Amin Bahron dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais.

