Sejarah Patani adalah sejarah orang Melayu. Bukan sekadar sejarah sekumpulan manusia biasa di selatan Thailand itu. Ia adalah sejarah untuk rumpun Melayu. Patani adalah salah satu sejarah rumpun Melayu yang begitu agung sekali ketika di bawah pemerintahan empat orang Raja Perempuan. Zaman ini dikenali sebagai `Zaman Ratu-Ratu`.

Bermulanya dengan zaman Raja Hijau (1602- 1616), Raja Biru (1616-1624), Raja Ungu (1624-1635), Raja Kuning (1635-1651). Ketika era ratu-ratu ini, banyak peperangan tercetus antara Patani dan kerajaan Siam. Tetapi dengan kekuatan dan penyatuan seluruh rakyat, serangan itu dapat dipatahkan.

Patani hanya jatuh ke tangan Siam pada 1785. Dua laras meriam besar yang dibuat pada masa pemerintahan Raja Biru, iaitu Seri Patani dan Seri Negara, yang dirampas dan diletakkan di hadapan pejabat Kementerian Pertahanan Thai, kini dijadikan 'tugu kemenangan' Siam terhadap Patani.

Setelah ditakluki pada 1785 dan dipecah-pecahkan kepada beberapa wilayah pada 1816, Patani perlahan-lahan hilangan identitinya sebagai sebuah negeri yang dahulunya aman dan merdeka.

Rama V atau Chulalongkorn telah meletakkan Siam di tahap yang begitu kukuh dan selamat. Beliau dianggap sangat berjaya dan bertanggungjawab memodenkan Siam ,sekaligus menyelamatkan Siam daripada dijajah Inggeris dan Perancis.

Tetapi bagi orang Melayu Patani, Chulalongkorn adalah musuh mereka. Raja itulah yang memperkenalkan dasar penyusunan semula wilayah yang diberi nama `Thesapeban`, kononnya untuk mewujudkan integrasi kebangsaan.

Dasar 'thai rat thai'

Perjanjian Bangkok 1909 merubah segala-galanya. Di dalam perjanjian ini, Patani ditarik masuk menjadi sebahagian daripada wilayah maharaja Siam sehinggalah sekarang. Keadaan menjadi lebih parah apabila pemerintahan baru Siam melancarkan konsep `thai rat thai`.

Dasar ini membawa maksud bahawa hanya ciri-ciri kebudayaan Thai sahaja yang diizinkan berkembang di Thai dan golongan minoriti lain mesti mematuhinya. Di bawah dasar ini juga, nama Siam ditukar kepada Thailand. Ketika ini jugalah keadilan dan hak asasi bagi setiap orang untuk mengamalkan cara hidup sendiri, terutama Melayu Islam di Patani, tercabar. Ketika inilah kesedaran rakyat Patani untuk memperjuangkan hak dan keadilan mula menyerlah.

Antara tokoh ulung yang bangkit menentang kerajaan Thai ialah Haji Sulong Hj Abdul Kadir. Beliau adalah anak Patani yang terdidik dengan pengajian agama yang cukup luas. Pada usia 12 tahun, beliau berangkat ke Mekah untuk mendalami ilmu agama. Selepas pulang ke Patani, beliau membangunkan `madrasah al-maarif al-wataniah` di Bandar Patani.

Beliau melibatkan diri dalam politik setelah menyaksikan ketidakadilan dan banyak perkara yang mencabuli hak rakyat, bangsa dan agama di tanahairnya. Haji Sulong dalam bukunya `Gugusan Chahaya Keselamatan`, pernah menyenaraikan tujuh tuntutan terhadap kerajaan Thai yang diserahkan kepada perdana menterinya pada 3 April 1947.

Tujuh tuntutan

Jelas sekali tujuh tuntutan itu adalah tuntutan untuk mewujudkan sebuah daerah autonomi Melayu-Islam merangkumi empat wilayah selatan. Tuntutan-tuntutan itu ialah:

Seorang ketua yang beragama Islam harus dilantik dan dipilih oleh anak jati Patani dan diberi kuasa penuh mentadbir Patani.

Pelajaran bahasa Melayu bagi setiap sekolah bagi kanak-kanak berumur tujuh tahun sebelum masuk belajar sekolah Siam.

Hasil dan pendapatan dalam empat wilayah itu, dibelanjakan kepada Patani sahaja.

Sebanyak 80 peratus pegawai kerajaan Melayu-Islam dilantik dalam sistem pentadbiran.

Mengasingkan mahkamah Syariah dengan undang-undang negeri.

Tulisan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi.

Mengakui rakyat di empat wilayah berketurunan bangsa Melayu.

Selepas menyenaraikan tujuh tuntutan tersebut, beliau ditahan pada 16 Januari 1948 dan dibebaskan empat tahun kemudiannya.

GEMPAR dan KMM

Pertubuhan pembebasan yang pertama sekali ditubuhkan oleh rakyat Patanai ialah Penubuhan Gabungan Melayu Patani Raya (GEMPAR). Ia ditubuhkan di Kota Bharu, Kelantan pada 5 Ma 1948 selepas Haji Sulong ditangkap. Ada yang mengatakan GEMPAR diilhamkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Ibrahim Yaakob, Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestaman.

Tujuan GEMPAR ditubuhkan ialah untuk menyatukan-padukan empat wilayah Patani, Yala, Bangnara dan Setol sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan merdeka. Rayuan juga telah disampaikan kepada Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), meminta Majlis Keselamatan PBB mengadakan pungutan suara bagi menentukan hak rakyat Patani.

Pada awal 1940-an, Kesatuan Melayu Muda (KMM) didirikan di Patani sebagai sebuah cawangan untuk memberi semangat perjuangan menuntut kemerdekaan daripada Thai, sama seperti di mana KMM menuntut kemerdekaan daripada British ketika itu di Malaya.

Ada ura-ura yang mengatakan, jikalau Malaya merdeka bersama-sama dengan Indonesia, maka KMM mahu menarik Patani turut sama menyertai Melayu Raya yang menggabungkan Malaya, Singapura, Brunei, Filipina dan Indonesia. Hal yang dirancang itu, bagaimanapun berjaya dipatahkan oleh British.

Pada 13 Ogos 1954, Haji Sulong dan rakan-rakanya hadir di Songkhla untuk memenuhi perintah ketua pegawai penyiasat polis. Turut hadir ialah anak beliau Ahmad. Bagaimanapun, selepas pertemuan itu, Haji Sulong dan anaknya "hilang". Ada yang mengatakan beliau dan anaknya ditangkap tanpa sebab dan ditenggelamkan di Pantai Samila, Songkhla.

Gerakan pemisah

Selepas "kehilangan" Haji Sulong dan anaknya itu, maka bermulalah era kebangkitan beberapa pertubuhan besar orang Melayu-Islam di Patani. Pada 13hb Mac 1960, Barisan Revolusi Nasional (BRN) ditubuhkan, bertempat di sebuah pusat pengajian terkenal di Bandar Yala.

Pengasasnya terdiri daripada Ustaz Karim Hassan, Dr Haji Harun, Wan Muhammad Bung dan Ustaz Razali. Ia ditadbir oleh sebuah jawatankuasa pusat yang dipanggil Dewan Pimpinan Pusat yang dianggotai tokoh-tokoh seperti Tengku Jalal, Amin Tohmena, Ustaz Zakaria dan Ahmad Yenkee.

BRN juga mempunyai kekuatan tentera yang begitu baik sekali pada ketika itu. Gerakan gerila BRN ini amat mencemaskan kerajaan Thai, lalu ia melancarkan gerakan menghapuskannya. Dalam sebuah buku kecil yang dikeluarkan pada 28 Januari 1977 yang bertajuk The Blood Of Our People yang diterbitkan oleh BRN, diyatakan cita-cita perjuangannya secara jelas dan terperinci.

Buku itu diterbitkan bagi menceritakan sejarah Patani sebelum dan selepas dijajah Siam. Di akhir buku tersebut, diselitkan rayuan rakyat Patani meminta orang Melayu di Malaysia, Indonesia dan Filipina, bersimpati dan membantu perjuangan mereka sebagaimana simpati yang ditunjukkan kepada perjuangan rakyat Palestin. Ustaz Karim, seorang bekas guru agama sekolah pondok di Patani diberi tugas melatih golongan muda menyertai gerila BRN.

Pada tahun 1968, sebuah lagi pertubuhan pembebasan untuk rakyat Patani ditubuhkan, iaitu PULO ( Patani United Liberation Organization), yang diasaskan oleh Tengku Bira Kotanila. Pengaruh PULO cepat merebak ke seluruh Patani kerana publisitinya dan jaringannya ke serata dunia Islam. Dengan dipimpin oleh cendikiawan muda tempatan, PULO berjaya memperolehi sokongan dan dokongan dari dalam dan luar negeri.

Pada 20 Mei 1972, sebuah lagi kumpulan pembebasan ditubuhkan iaitu Barisan Nasional Pembebasan Patani (BNPP) dan disusuli oleh kumpulan-kumpulan lain seperti Parti Revolusi Nasional, Gerakan Islam Patani dan Pergerakan Kemerdekaan Patani Bersatu.

Banyak rintangan yang dilalui kumpulan-kumpulan pembebasan ini dari tahun 1970-an hingga tahun 1980-an. Konflik di wilayah itu bagaaimanapun reda pada awal tahun 1990-an. Tetapi pada akhir 90-an, nampaknya kejadian serang hendap dan pengeboman menjadi-jadi hinggalah sekarang.

Pemberontakan oleh kumpulan-kumpulan yang dilabelkan sebagai pemisah ini bukanlah satu pemberontakkan agama, tetapi adalah pemberontakkan untuk membebaskan tanahair daripada terus dijajah, untuk keluar dari cengkaman kerajaan Thai.

Tangan-tangan tersembunyi

Pada awal tahun 2000, banyak kejadian tembak-menembak orang awam berlaku. Anggota pemisah dipersalahkan walaupun pihak berkuasa mempunyai bukti siapa sebenarnya dalang kejadian tersebut. Namun, rakyat Patani percaya ada tangan-tangan tersembunyi terbabit dalam serangan-serangan tersebut.

Mereka percaya, Bangkok "mencipta" ketegangan di wilayah selatan itu, sedangkan golongan pemisah udah tiada lagi di bumi Patani.Sebalik, rakyat Patani berpendapat, kerajaan Thai perlu dengan sukarela memajukan wilayah selatan ini bagi membolehkann rakyat keluar dari kemunduran dan penindasan.

Mereka menuntut pembangunan ekonomi, infrastruktur dan pendidikan sebagaimana yang dinikmati oleh wilayah-wilayah lain di Thailand. Dari awal tahun 2000 hingga sekarang, lebih 900 orang terkorban dalam konflik di wilayah ini.

Kejadian pembunuhan di Tak Bai dan Masjid Kerisek, Patani menyimpan tragedi perjuangan rakyat Patani yang menuntut hak mereka. Sudah sampai masanya bagi kerajaan Thai berkompromi dengan masyarakat Islam Patani, dengan memberi kemajuan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan perumahan.

Perdamaian perlu dibawa ke selatan Thai supaya rakyatnya tidak lagi hidup dalam ketakutan dan kemunduran. Bagi menyelesaikan konflik Patani ini, rakyatnya harus jelas halatuju perjuangannya, sebagaimana perjuangan rakyat Timor Laste yang menuntut kemerdekaan dari Indonesia dan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) yang menuntut autonomi.

Masalahnya ketika ini ialah perjuangan Patani tidak jelas arah tujuannya. Perlu ada seorang jurucakap dari kalangan rakyat Patani untuk berunding dengan kerajaan Thailand bagi meredakan ketegangan yang berlaku. Negara-negara jiran juga perlu memainkan peranan untuk menyelesaikan masalah di selatan Thai ini.

Malaysia yang memperjuangkan slogan `Hidup Melayu` dan menjadi Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), serta Pengerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), harus menjadi orang tengah untuk mendamaikan kedua-dua pihak yang bertelagah di selatan Thai.

Ini bukan untuk campurtangan dalam urusan negara jiran, tetapi menyelesaikan konflik serantau. Kalau Malaysia boleh menjadi orang tengah bagi rundingan antara Kerajaan Filipina dengan Pertubuhan Pembebasan Islam Moro (MILF), kenapa tidak mahu menjadi orang tengah dalam krisis Patani?

Selatan Thailand akan terus bermandi darah jika kita terus menutup kedua-dua belah mata. Apa yang rakyat Patani mahu hanya hak mereka dan keadilan. Mereka perlukan sokongan daripada orang Melayu serumpun di sekeliling mereka. Jadi, perdebatan mengenai isu selatan Thailand ini hendaklah didebatkan secara terbuka tanpa prejudis atau rasa takut.


Penulis adalah rakyat Patani yang sedang menuntut di Malaysia. Artikel ini adalah bertujuan untuk memberi latarbelakang sejarah perjuangan rakyat Patani untuk tatapan umum.