Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkejar membantu sekeluarga empat orang di Muar hari ini, apabila mereka jatuh daripada motosikal.

Malaysiakini sedang hampir menyelesaikan wawancara bersama Razali di sebuah gerai di pinggir Jalan Jabbar, Parit Jawa ketika keadaan menjadi riuh-rendah secara tiba-tiba di seberang jalan itu.

Anggota Parlimen Muar dan para pembantunya berkejar melihat keadaan yang terjadi setelah mendengar berlakunya kemalangan.

Sekeluarga seramai empat orang, termasuk dua orang kanak-kanak - kesemuanya tidak memakai topi keledar - terjatuh daripada motosikal.

Tidak jelas punca kemalangan itu.

Salah seorang kanak-kanak anggota keluarga itu menangis kesakitan dan terdapat luka di bahagian kaki kirinya, sementara bapanya yang menunggang motosikal itu luka di pada satu bahagian mukanya.

Razali cuba menenangkan kanak-kanak yang meraung kesakitan itu yang dimarahi jeritan ibunya.

Timbalan menteri itu mahu keluarga itu dihantar ke klinik tetapi keluarga tersebut enggan dibantu lantas pantas beredar meninggalkan tempat kejadian, dengan ibu dan dua anaknya itu berjalan kaki pergi dari situ.

Difahamkan keluarga tersebut tinggal berhampiran dengan tempat kemalangan terjadi.

Keselamatan jalan raya

Bercakap selepas kemalangan itu, Razali memberitahu Malaysiakini kemalangan tersebut menimbulkan isu kepentingan keselamatan jalan raya.

"Keluarga itu enggan menerima bantuan sebab naik motor 4 orang dan tak pakai helmet. Nasib baik lukanya kecil.

"Sebab itu penting untuk patuhi undang-undang ketika berada di jalanraya. Demi keselamatan diri dan pengguna lain," kata beliau.

 

 

[Baca berita asal]