Pakatan Harapan (HARAPAN) akan membawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke mahkamah kerana gagal menjawab permohonan mereka untuk didaftarkan sebagai pakatan rasmi.

Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan perundangan yang akan difailkan hujung minggu ini adalah bagi mendesak ROS menjawab permohonan HARAPAN kerana perkara itu telah menjejaskan persiapan mereka dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang.

"Masih tak ada jawapan daripada ROS. Meskipun kita cuba berhubung dengan mereka, kita masih tak dapat sebarang jawapan.

"Kita tidak boleh kata mereka menolak (permohonan HARAPAN) kerana mereka belum melakukan itu.

"Tapi pada masa yang sama, kita tak boleh buat apa-apa kerana kita belum berdaftar," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Petaling Jaya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN.

Dr Mahathir berkata, sikap ROS yang berdiam diri boleh dilihat sebagai membantu BN memenangi PRU ke-14.

"Agensi kerajaan tidak seharusnya bersikap berat sebelah dalam menjalankan tugas," katanya.

Jelas Dr Mahathir lagi, HARAPAN juga bimbang dengan daftar pemilih yang didakwa mempunyai banyak keraguan dan akan membangkitkan isu itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Awal bulan ini, Setiausaha Agung HARAPAN Datuk Saifuddin Abdullah berkata HARAPAN telah menghantar surat rasmi kepada ROS yang ditujukan kepada Ketua Pengarah ROS Suriyati Ibrahim.

Saifuddin di dalam suratnya menyatakan bahawa mesyuarat dengan Suriyati pada 20 Nov lalu, HARAPAN diberitahu permohonan mereka tidak boleh diproses kerana ROS masih menunggu laporan mesyuarat agung tahunan BERSATU selain laporan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Saifuddin juga berkata memandangkan ROS mengiktiraf pemilihan semula DAP, sudah sampai masanya pendaftar pertubuhan itu mengiktiraf BERSATU sebagai organisasi berdaftar.

BERSATU sehingga kini gagal untuk mendaftarkan parti mereka, sementara Dr Mahathir mendakwa terdapat usaha pihak tertentu yang cuba menghalang pendaftaran parti itu.

[Baca berita penuh]