Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata isterinya Datin Seri Endon Mahmood, yang menjalani rawatan kimoterapi untuk penyakit kanser payudara di Los Angeles, Amerika Syarikat selamat pulang ke tanahair semalam.

Beliau berkata, isterinya, yang dalam keadaan sihat tetapi lemah, kini dimasukkan ke Hospital Putrajaya untuk pemerhatian.

"Dia selamat sampai semalam dan apabila sampai kita cuba atasi keletihanya (dari perjalanan balik) dan pihak keluarga telah membuat keputusan lebih baik hantar (Endon) ke hospital supaya mendapat pemerhatian rapi oleh doktor.

"Dan jika ada apa-apa yang perlu dilakukan ataupun jika apa-apa berlaku dengan tiba-tiba, maka pihak hospital dapat beri rawatan kepada beliau," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) ke-52 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Abdullah berkata: "Beliau (Endon) berada dalam keadaan yang tidak membimbangkan dan masih berehat. Dia (Endon) berkata dia belum bersedia untuk menerima pelawat."

"Minta maaflah dalam keadaan yang begitu. Doktor pun telah menasihatkan "Abdullah tolong jaga jangkitan sampingan", kata Perdana Menteri.

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata, pesakit kanser yang telah menjalani rawatan kimoterapi, tidak boleh menerima pelawat yang mempunyai infeksi seperti selesema dan sebagainya kerana sistem immuniti badan pesakit tersebut untuk melawan penyakit lain telah menurun disebabkan rawatan tersebut.

Endon ke Los Angeles Jun lalu, untuk rawatan kemoterapi Abraxene yang belum diperkenalkan di negara ini, tetapi ia terbukti berkesan dalam menangani kanser payu dara.

Abdullah berkata, semasa beliau melawat isterinya di Amerika Syarikat bulan lalu, Endon telah menyatakan hasratnya untuk kembali ke Malaysia bagi menyambut bulan Ramadan yang dijangka bermula pada Rabu ini serta menyambut Hari Raya Puasa.

"Jadi saya kata kalau doktor kata boleh, bolehlah, eloklah...semuanya bergantung kepada doktor dan apabila doktor membuat pemeriksaan yang diperlukan ke atasnya maka doktor membuat keputusan dia boleh balik," katanya.

PM ceria

Perdana Menteri, yang kelihatan ceria dan gembira menjawab pertanyaan pemberita berkata, perjalanan balik isterinya dari Amerika Syarikat telah meletihkan Endon.

"Sebagai pesakit kanser yang telah dirawat dengan kimoterapi yang begitu kuat dan radiasi yang begitu kuat memang melemahkan badan. Siapa yang tahu penyakit ini atau yang biasa kena ataupun yang ada ahli keluarga yang menghidap penyakit ini amat-amat tahu rawatan ini meletihkan kerana sistem immuniti atau ketahanan badan akan menurun," kata Abdullah.

Endon yang mula menyedari beliau menghidap barah payu dara selepas kembarnya, Noraini disahkan menghidapi penyakit itu pada awal 2003, telah ke Amerika Syarikat untuk mendapat rawatan susulan.

Beliau telah menjalani mastektomi radikal iaitu pembedahan membuang payu dara bersama-sama noda-noda limfa dan otot pada ketiak berdekatan di St John's Medical Centre sebuah hospital swasta di Amerika Syarikat.

Selepas itu, beliau telah membuat beberapa kali rawatan susulan di negara berkenaan dengan yang terbaru pada Jun lalu.

Ogos lalu, Abdullah turut meluangkan masa hampir seminggu untuk bersama isteri dan keluarganya di Amerika Syarikat.

Semasa menghadiri Sidang Kemuncak Dunia 2005 yang diadakan sempena Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-60 di New York pada bulan lepas, beliau turut meluangkan masa pada hujung minggu melawat Endon sebelum menghadiri Seminar Bioteknologi di San Francisco.