Boracay kini umpama kolam najis bagi Duterte
GLOBAL I Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengancam untuk menutup pulau peranginan popular Boracay kerana keadaan perairan pulau itu terlalu kotor akibat masalah pembetungan.
Duterte memberi tempoh enam bulan kepada Setiausaha Alam Sekitar negara itu, Roy Cimatu dan pihak berkuasa menyelesaikan masalah itu.
Beliau juga memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk menutup pulau itu demi kesihatan dan keselamatan jutaan pelancong yang mengunjunginya.
"Saya akan menutup Boracay. Ia sudah menjadi penakung najis. Airnya terlalu busuk. Bau apa? Najis. Semuanya dari Boracay," katanya ketika forum perniagaan di kediamannya di Davao, lapor AFP.
Pegawai jabatan pelancongan mengakui pandangan Duterte mengetengahkan masalah pembetungan semakin teruk di pulau yang terkenal dengan pasir putih dan air jernih itu.
"Boracay kerap dipuji majalah percutian berprestij sebagai antara pulau terindah di dunia, ia mungkin hilang statusnya sebagai syurga pelancong jika pencemaran perairannya berterusan," kata Setiausaha Pelancongan Wanda Teo dalam satu kenyataan.
Sementara itu, jurucakap jabatan Ricky Alegre berkata beberapa premis melepaskan sisa kumbahan terus ke laut dan ada premis mengalihkan saluran kumbahan secara haram.
"Daripada 150 premis perniagaan yang diperiksa pihak berkuasa kebelakangan ini, hanya 25 sahaja mempunyai saluran kumbahan mengikut spesifikasi," katanya.
Selain itu, banyak premis dibina terlalu hampir dengan kawasan pantai malah ada yang menceroboh rizab jalan di sekitar pulau seluas 1,000 hektar itu.

