Sistem meritokrasi perlu diberi pertimbangan
Katanya, ini kerana Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad amat prihatin dengan pencapaian akademik sesetengah pelajar Melayu yang gagal menunjukkan prestasi yang diharapkan.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan tambahan Saupi Daud (PAS-Tanah Merah) sama ada kementerian akan melaksanakan sistem meritokrasi.
Saupi juga meminta penjelasan mengenai gambaran negatif terhadap tindakan sebahagian mahasiswa lelaki di kampus yang dikaitkan dengan isu kebakaran bangunan bersejarah Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya baru-baru ini.
Bagaimanapun, Mahadzir memberi amaran kepada PAS supaya tidak 'mengganggu-gugat' pelajar-pelajar di IPT.
Terdahulu, Mastika Junaidah Husin (BN-Arau), mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan memperketatkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), walaupun pembangkang mendesak supaya akta itu dihapuskan saja.
Pentadbiran universiti
Mahadzir yang juga wakil BN-Sungai Petani berkata sebahagian besar akta itu mengandungi perkara pentadbiran universiti manakala sebahagian kecil saja membicarakan disiplin pelajar.
Katanya, kementerian sedang membuat kajian lanjut akta tersebut dan memberi jaminan bahawa ia bukan bertujuan untuk menghalang aktiviti pelajar dalam kampus.
"Kerajaan tidak akan menyekat aktiviti pelajar selagi ia dilakukan mengikut saluran yang sah...mereka boleh mengkritik apa saja isu," katanya.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan pembabitan mahasiswa dalam politik kepartian dalam kampus.
Sementara itu, beliau menjelaskan jumlah pelajar perempuan di pusat pengajian tinggi tempatan melebihi 60 peratus. Manakala jumlah pelajar lelaki antara 30 hingga 40 peratus.
Merujuk kepada statistik tahun 2000/2001, berdasarkan pecahan jantina di 11 universiti termasuk tiga kolej universiti dan Kolej Tunku Abdul Rahman, jumlah pelajar perempuan ialah 102,038 orang (59.8 peratus) dan bilangan pelajar lelaki hanya 68,569 (40.2%).
Bagaimanapun jumlah pelajar lelaki mengatasi pelajar perempuan dalam kursus-kursus tertentu, terutama di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUTTHO).
UTM mempunyai 61.3 peratus pelajar lelaki berbanding 38.7 peratus pelajar perempuan, manakala KUTTHO (65 peratus) pelajar lelaki, 35 peratus perempuan.

