Aktivis Sarajun Hoda Abdul Hassan telah dibebaskan dari tahanan polis lewat malam semalam.

Sebelum ini, adalah dilaporkan beliau ditahan semalam, di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).

Jay Jay Denis, yang hadir ketika Sarajun dibebaskan, mengesahkan bahawa aktivis itu dilepaskan dari Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada kira jam 12.30 pagi.

Beliau berkata polis dari Bukit Aman merekodkan kenyataan Sarajun Hoda dan akan memaklumkan kepadanya dalam tempoh sebulan jika polis akan meneruskan tuduhan itu.

Telefon Sarajun Hoda juga dirampas oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), katanya.

Siasatan itu dikatakan berhubung hantarannya di Facebook pada Oktober tahun lalu, yang kemudiannya telah dimuat-turunkan sejak itu.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Sarajun Hoda untuk maklumat lanjut.

Seksyen 298 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mengeluarkan kenyataan dengan niak melukakan perasaan agama seseorang.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula berhubung penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.