Malaysia berharap India mengkaji semula kadar duti import yang dikenakan ke atas minyak sawit mentah (MSM) Malaysia yang dinaikkan kepada 30 peratus daripada 15 peratus sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata harapan itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi hari ini.

“Kadar yang dinaikkan ke atas minyak sawit agak tinggi daripada minyak sayuran yang lain. Ini saya minta supaya dapat dilihat semula oleh kerajaan India.

“Perdana Menteri Modi berkata beliau akan memberikan pertimbangan yang serius terhadap permintaan itu,” katanya kepada pemberita Malaysia di New Delhi hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kenaikan kadar duti import itu boleh mendatangkan kesan kepada pembelian minyak sawit kerana India merupakan pembeli kedua terbesar Malaysia.

Pada November lepas, kerajaan India menaikkan duti import ke atas MSM Malaysia kepada 30 peratus daripada 15 peratus sebelum ini, untuk mengawal penghantaran yang lebih murah dan menyokong kilang penapisan tempatannya.

Cukai import ke atas minyak kacang soya dan minyak bunga matahari juga dinaikkan, masing-masing kepada 30 peratus daripada 17.5 peratus, dan kepada 25 peratus daripada 12.5 peratus.

India mengimport kira-kira 14.5 juta tan minyak sayur-sayuran dari Malaysia dan Indonesia setiap tahun untuk memenuhi permintaan domestik.

Indonesia dan Malaysia menyumbang 85 peratus kepada pengeluaran MSM keseluruhan global ​​​​​​dan 91 peratus kepada eksport keseluruhan minyak sawit dunia. -Bernama