Terjemahan Calon pro-kerajaan yang disokong oleh pihak berkuasa universiti menang besar dalam pilihanraya kampus di hampir semua universiti, selepas penamaan calon ditutup, berikutan tindakan kumpulan anti-establishment memulau pemilihan kali ini.

Pemulauan itu berlaku dilima universiti utama Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana pemilihan didakwa tidak dijalankan secara bebas dan adil.

Tindakan pemulauan oleh kumpulan yang dianggap anti-establishment itu membolehkan calon kumpulan Aspirasi Kerajaan menguasai semula UIA dan UPSI. Mereka turut menguasi USM dan UTM.

Hari pengundian akan berlangsung serentak di semua 17 universiti tempatan Khamis ini.

Media turut melaporkan hari ini bahawa kumpulan pro-kerajaan menang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Universiti Kejuruteraan, Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia, Kolej Kejuruteraan Utara Malaysia dan Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia.

Di sesetengah kampus, kumpulan pro-kerajaan telah meletakkan calon tambahan bagi memastikan pemilihan tetap berlangsung.

Contohnya, di UPM, kesemula 32 kerusi di peringkat fakulti dimenangi tanpa bertanding, tetapi 23 calon dari kumpulan yang sama, akan bertanding bagi 16 kerusi umum.

Pro-establishment mendahului

Namun begitu, tumpuan kini ialah terhadap dua universiti utama Universiti Malaya (UM), yang merupakan universiti tertua di negara ini, dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bagaimanapun, calon kumpulan Mahasiswa Idealis dikatakan kurang optimistik untuk menang berdasarkan kepada perkembangan terbaru yang tidak menyebelahi mereka. Mereka mendakwa, pihak berkuasa universiti menyokong calon pro-kerajaan.

Pencalonan tiga calon anti-establishment di UM dibatalkan selepas kesilapan ditemui pada kertas pencalonan mereka.

Ketika tempoh pencalonan di universiti tersebut ditutup semalam, kumpulan pro-kerajaan memenangi sekurang-kurangnya 15 daripada 39 kerusi tanpa bertanding.

Seorang calon dari kumpulan anti-establishment ketika dihubungi, mengadu, para pegawai universiti mengelak daripada menjawab soalan mengenai kemungkinan berlakunya perkara-perkara seperti perbuatan mencatat nombor kertas undi sewaktu majlis taklimat dengan semua calon diadakan petang semalam.

"Pada tahun sebelumnya, timbalan naib canselor jabatan hal-ehwal pelajar akan bertemu sendiri para calon, tetapi beliau tidak hadir semalam. Beliau menghantar seorang pegawai yang tidak dapat menjawab semua soalan kami, dan jawapannya hanyalah, akan menyampaikan mesej tersebut kepada timbalan naib canselor," dakwanya.

Seorang calon turut bertanya mengapa pihak universiti "secara tiba-tiba" mengambil keputusan untuk tidak menyediakan poster untuk semua calon, sepertimana kebiasaan dilakukan sebelum ini.

"Berikutan hanya dua hari sahaja tempoh untuk berkempen, maka kami kini terperangkap kerana pada kebiasaannya pihak kampus akan menyediakan sepanduk. Bagaimanapun, kami mendapati calon-calon pro-establishment sudah bersedia dengan poster mereka," dakwa seorang pelajar.

Manakala pelajar yang tinggal di kolej kediaman dikatakan telah diminta mengisi 'borang kajian' untuk menyatakan pendirian sama ada sama 'pro-establishment', 'anti-establishment' atau 'tidak tahu'.

Calon-calon anti-establishment di UM memulaukan pilihanraya kampus tahun lalu selepas pihak berkuasa universiti itu didakwa bersikap berat sebelah dan berikutan itu, kumpulan pro-establishment berjaya menguasainya untuk pertama kali sejak gerakan reformasi bermula pada 1998.

Pertandingan tiga penjuru

Di UKM, perebutan bagi beberapa kerusi akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru berikutan berlakunya perpecahan dalam kumpulan pro-establishment, manakala satu kerusi di fakulti pengajian Islam telah dimenangi tanpa bertanding oleh calon anti-establishment.

Sebanyak 33 kerusi akan dipertandingkan di UKM. Kumpulan anti-establishment meletakkan 33 calon, manakala kumpulan pro-establishment meletakkan sembilan calon, manakala kumpulan serpihan pro-establishment yang dikenali sebagai 'Tindakan Siswa Bersatu (TSB) meletakkan 32 calon.

Dua kumpulan pro-establishment itu masing-masing dikatakan diketuai oleh pegawai tinggi universiti dan ketua kolej kediaman, yang dikenali sebagai orang yang bertanggungjawab mengatur siri mesyuarat yang diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

"Perebutan tiga penjuru itu agak mengejutkan kerana Kumpulan Aspirasi Kerajaan tidak menjangka perpecahan itu berlaku, yang dipercaya ada kaitan dengan perebutan kuasa (antara dua pegawai universiti). Pencalonan beberapa calon kumpulan tersebut telah ditolak semasa pencalonan semalam," kata seorang pelajar.

Ditanya mengenai peluang kumpulan anti-establishment, dia menjawab: "Kami yakin kumpulan 'anti-establishment' akan mampu menubuhkan 'kerajaan' (majlis perwakilan pelajar), jika tiada campurtangan atau taktik kotor oleh pihak berkuasa universiti."

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa universiti didakwa telah mengadakan siri mesyuarat dengan para pelajar untuk mengingatkan mereka supaya mengundi calon pro-establishment atau menghadapi risiko dikeluarkan daripada kolej kediaman./Berita asal