Selalu menyanyikan lagu sedih akibat putus cinta, sebenarnya ia bukanlah sekadar memenuhi permintaan pasaran, sebaliknya apa yang diceritakan melalui karya itu adalah realiti yang melatari kehidupan Cakra Khan.

Penyanyi dari Indonesia itu memang baru saja putus cinta kerana dicurangi pasangannya.

Justeru dia ingin melahirkan lagu bersama lirik yang membawa maksud untuk lebih bersemangat dan ceria.

Enggan dipengaruhi kesedihan, Cakra Khan berkata 2018 ini ingin dijadikan tahun dia meningkatkan kejayaan dalam bidang nyanyian, selain tidak mahu terikat lagi dalam sebarang hubungan cinta.

“Selepas dua kali putus cinta dengan orang yang sama, saya berazam mahu fokus hanya kepada kerjaya mulai sekarang.

“Memang secara kebetulan apa dinyanyikan terjadi dengan kehidupan peribadi saya.

"Cuma harapan saya tahun ini nasib saya boleh berubah dan dapat menyanyikan lagu dengan tema baru.

“Dan siapa tahu saya mungkin boleh benar-benar bahagia selepas ini,” katanya.

Jangan 100 peratus

Cakra Khan, 25, ditemui pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Sony Music Entertainment Malaysia (Sony Music) dengan MyMusic Records Indonesia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melalui perjanjian dimeterai itu, Sony Music menjadi pemegang hak rasmi untuk semua artis di bawah naungan MyMusic Records di Malaysia

Cakra Khan, anak muda berasal dari Jawa Barat, Indonesia itu popular dengan lagu-lagu seperti Harus Terpisah, Setelah Kau Tiada, Seluruh Cinta dan Mencari Cinta Sejati.

Walaupun agak keberatan untuk berkongsi lanjut pengalamannya ditipu kekasih, Cakra Khan akhirnya meluahkan perasaan yang terbungkam di hati.

Dia mengakui kesilapan yang dilakukan ketika bercinta adalah apabila terlalu memberi kepercayaan 100 peratus kepada kekasih yang akhirnya membawa akibat memakan diri sendiri.

“Menipu itu memang senang, tetapi untuk setia lebih mencabar.

"Jangan sesekali memberi kepercayaan 100 peratus kepada pasangan anda, jika perlu biarlah hanya 60 peratus saja, selebihnya kita kena tahan emosi.

“Jika tidak, sekali terluka, ia akan jadi benar-benar parah, kecuali kalau sudah berada dalam komitmen seperti perkahwinan,” katanya.