Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pulang sebentar ke Malaysia akan memenuhi beberapa jemputan di beberapa buah negeri, termasuk program bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Rangka kerja lawatan beliau kali ini, yang merangkumi beberapa negeri termasuk Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan, dijangka memperkukuhkan lagi barisan parti pembangkang, Barisan Alternatif (BA).

Anwar yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) parti komponen BA akan menghadiri satu program kesenian "Malam Patriotik Rakyat KL" di Taman Tasik Titiwangsa malam ini, sebelum beliau berlepas ke Kelantan esok.

Antara program Anwar di Kelantan ialah perjumpaan dengan masyarakat bukan Melayu dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Perniagaan Cina di Kota Bharu.

Pada Rabu malam pula, Anwar akan berucap dalam satu ceramah perdana bertajuk "Himpunan Perdana Politik Malaysia Baru". Nik Aziz dan Naib Presiden PKR, Azmin Ali juga akan turut berucap.

'Agenda Perubahan'

Selepas lawatan satu hari ke Kelantan, Anwar akan singgah di Kamunting, Perak pada 29 September 29, di mana beliau akan menyampaikan satu ceramah bertajuk "Agenda Perubahan"

Pada pagi 30 September pula, beliau dijangka menghadiri program bersama masyarakat nelayan di Nibong Tebal sebelum menyertai ceramah perdana bersama Abdul Hadi (foto) dan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu di Kepala Batas.

Keesokannya, beliau akan menyertai satu majlis dialog bertema "Transformasi Politik dan Dasar Ekonomi Malaysia " bersama golongan profesional Pulau Pinang di Hotel Equatorial, Bukit Jambul.

Sebelum pulang ke Amerika Syarikat di mana beliau menjadi pensyarah jemputan di Universiti John Hopkins di Washington, Anwar akan menghadiri dua acara ceramah perdana di Kuala Pilah dan Jempol.