Ini bukan drama dan saya bukan hero - Shahrir
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Tan Sri Shahrir Samad menolak gelaran “hero” yang diberikan padanya susulan kejayaan mendapatkan semula tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
“Apa yang heronya? Ini bukan satu benda yang luar biasa.
“Kita hanya mengambil tindakan mengikut apa yang kita rasa betul berdasarkan nasihat daripada pelbagai pihak,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu.
Veteran Umno itu berkata demikian dalam wawancara khas bersama portal baru The Rakyat yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
Felda pada 15 Januari lalu mendapat kembali tanah bernilai RM200 juta yang dipindah milik kepada syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd tanpa sebarang kos.
Pada 21 Disember lalu, media mendedahkan Felda berisiko hilang hak ke atas tanah strategik itu apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.
Sementara itu, Shahrir juga ditanya berkaitan pendapat yang menyifatkan apa yang berlaku hanya ‘drama dan lakonan’ yang dirancang untuk memperlihatkan ‘kehebatan’ kerajaan BN.
Menjawab perkara itu, Shahrir sekali lagi menegaskan kehilangan tanah itu pada mulanya berlaku sebelum beliau menyertai Felda lagi.
“Masa tu semua orang tak tahu mengenainya, lembaga pengarah sendiri pun tak tahu, apatah lagi saya.
“Saya pun tak tahu yang beberapa tahun selepas itu rupanya saya akan mengisi jawatan Pengerusi Felda ini, malah tak pernah terfikir pun.
“Kalau betul ini semua drama, wah…hebatlah saya,” katanya lagi.

