G25 dapat kebenaran cabar larangan buku
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini memberi kebenaran kepada sekumpulan bekas kakitangan awam yang dikenali sebagai Kumpulan 25 (G25) untuk memulakan cabaran berhubung pengharaman bukunya yang bertajuk "Breaking the Silence: Voices of Moderation - Islam in a Constitutional Democracy".
Kebenaran mencabar larangan buku itu diberikan oleh Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said.
Peguam G25, Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth berkata peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan dari Jabatan Peguam Negara tidak membantah permohonan mereka itu.
Permohonan atau kelulusan dipohon dalam prosiding semakan kehakiman terlebih dahulu untuk memastikan cabaran itu bukannya remeh dan menyalah-gunakan proses mahkamah.
Kata penghantar buku yang diterbitkan pada Disember 2015 itu ditulis oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, dengan satu salinan diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada bulan yang sama.
Bagaimanapun, buku itu diwartakan sebagai “haram” oleh Kementerian Dalam Negeri pada 27 Julai tahun lalu.
G25, yang diketuai oleh Datuk Noor Farida Ariffin, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Oktober lalu untuk mendapatkan perintah mahkamah (certiorari) bagi membatalkan larangan buku berkenaan.

