Calon PM HARAPAN belum diputuskan
Pakatan Harapan (HARAPAN) belum memuktamadkan calon perdana menteri mereka untuk ditawarkan kepada pengundi menjelang konvensyen gabungan tu esok.
Ketika orang ramai tertunggu-tunggu pengumuman mengenainya Ketua Wanita HARAPAN Zuraida Kamaruddin hari ini berkata isu berkenaan dibincangkan dalam konvensyen mereka hari ini.
"Semua parti gabungan belum memutuskan (calon perdana menteri). Setakat ini prosesnya (perbincangan itu) sedang berjalan," katanya kepada media di Kajang, Selangor hari ini.
Malah kata anggota parlimen Ampang itu keputusan muktamad mengenainya mungkin tidak dicapai hari ini.
Pada masa sama Zuraida berkata PKR sudah membuat beberapa kenyataan berhubung isu berkenaan, termasuk menolak menamakan sebarang calon pada konvensyen HARAPAN esok.
"Ada banyak benda lain yang perlu difokuskan, seperti apa yang kita boleh lakukan untuk rakyat dan perubahan yang boleh kita bawa.
"Kita juga perlu bincangkan apa tawaran yang dapat dibawa kepada rakyat wala siapa pun yang akan menjadi perdana menteri," katanya.

Secara peribadi Zuraida berkata, beliau berpendapat Tun Dr Mahathir Mohamad lebih sesuai menjadi menteri kanan dan bukan mengisi tempat perdana menteri.
Sementara itu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata HARAPAN mempunyai ramai calon yang layak untuk diangkat menjadi perdana menteri.
Katanya HARAPAN juga perlu memikirkan beberapa aspek lain untuk meletakkan seseorang menjadi calon perdana menteri.
"Kita memang ada ramai calon yang layak dan kita akan lihat bagaimana faktor boleh menang (winnability) dan faktor wanita.
"Wanita juga boleh jadi calon perdana menteri, apa salahnya?" kata beliau.
Turut hadir di konvensyen hari ini ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

